Bahasa

Chellam — Bahagian 21

September 23, 2012

23 SEPTEMBER — Suasana kelam-kabut. Chellam hanya terduduk sambil menangis.

Selama ini, dia adalah seorang wanita yang sangat kuat dan kental. Namun, memikirkan nasib yang menimpa anak bongsunya, wanita itu menjadi lemah, selemah-lemahnya.

“Tuhan! Kenapa Kau seksa anakku sampai begini? Apakah dosa dia? Kalau Kau mahu menghukum, hukumlah aku. Jangan hukum anak-anakku,” tangis Chellam sambil berdiri menghadap berhala Dewa Shiva di bilik sembahyang.

Karpagam seorang gadis genit yang periang. Tahun lalu, dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Kini dia belajar Tingkatan Enam. Cita-citanya adalah untuk menjadi seorang doktor pakar bidang psikologi.

Sejak kecil, Karpagam sangat rapat dengan emaknya. Malah, menandingi keintiman antara Chellam dengan tiga lagi anaknya.

“Sayalah anak manja emak,” kata Karpagam sambil memeluk leher emaknya.

Tabiat itu masih berterusan hingga kini walaupun umurnya sudah menjangkau lapan belas tahun.

Namun, sikap Karpagam terhadap Selvam adalah sebaliknya pula. Sejak kecil, anak itu secara semula jadi tidak pernah rapat dengan bapanya.

“Bapa orang jahat,” kata Karpagam semasa berumur hampir empat tahun.

“Bapa bau busuk. Bau arak. Saya rasa macam nak muntah. Saya tak suka bau rokok juga. Saya tak suka bapa.”

Setiap kali mendengar kata-kata seperti itu, Chellam akan terdiam.

Bukan Karpagam sahaja yang berpendapat demikian. Kavitha, Kogila dan Kannama juga mengeluarkan komen yang sama.

“Saya tak suka duduk sebelah lelaki itu. Bau busuk! Dia selalu mabuk sahaja atau pun terhuyung-hayang macam penghisap dadah,” komen Kagila semasa berumur sekitar sepuluh tahun.

“Nasib baik emak yang datang mengambil kad laporan saya di sekolah semalam. Kalau bapa yang datang, tentu memalukan sahaja.

“Cikgu-cikgu di sekolah selalu puji kami sebagai anak-anak yang baik. Tapi kalau mereka tengok bapa, tentu mereka akan memandang hina pada kami,” kata Kavitha pula semasa belajar di Tingkatan Dua.

Chellam tidak dapat menafikan kebenaran kata-kata anak-anaknya. Dia terpaksa mengakui komen yang diberikan.

Anak-anak mengharapkan bapa yang penyayang, dihormati dan boleh dibanggakan. Selvam tidak memiliki satu pun sikap positif.

Maka, tidak salahlah anak-anaknya tidak sukakannya. Apatah lagi apabila mereka sedang meningkat remaja.

“Kalau dia tidak mampu membuat apa-apa kebaikan pun tidak apalah,” selalu Chellam berfikir.

“Aku hanya doakan supaya dia tidak melakukan apa-apa keburukan. Janganlah hidup anak-anakku menerima kesan buruk akibat daripada perbuatan bapa mereka.”

Namun begitu, Chellam sentiasa ingat akan peribahasa Tamil yang menyebut bahawa dosa ibu bapa terpaksa ditanggung oleh anak-anak.

Memang benar! Itulah nasib yang telah menimpa Karpagam. Chellam terasa amat sedih apabila memikirkannya. – Bersambung minggu depan

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi