Bahasa

Chong Wei mara ke suku akhir Terbuka Singapura

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) mempamerkan aksi cemerlang untuk menempah slot ke peringkat suku akhir Kejohanan Siri Super Terbuka Singapura.

Pada aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Singapura hari ini, perseorangan lelaki nombor satu dunia itu hanya memerlukan masa setengah jam untuk mengalahkan pemain muda China, Chen Yuekun dengan keputusan 21-11 dan 21-6.

Menanti Chong Wei pada suku akhir, esok adalah pemain kidal dari Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk yang terpaksa berhempas pulas sebelum menundukkan wakil Hong Kong, Wong Wing Ki;21-14, 18-21 dan 21-14.

Turut mara ke suku akhir adalah beregu lelaki negara, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong yang menewaskan pasangan Thailand, Maneepong Jongjit dan Nipitphon Puangpuapech; 21-17 dan 21-18.

Hoon dan Tan dijadual berdepan beregu Taiwan, Lee Sheng Mu dan Tsai Chia Hsin yang menumpaskan Kevin Dennerly Minturn dan Oliver Leydon-Davis dari New Zealand; 21-12 dan 21-15.

Nasib malang bagaimanapun menimpa beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang merupakan pilihan keempat selepas kalah mengejut kepada pasangan bukan pilihan dari China; Liu Cheng dan Bao Yixin dengan keputusan 17-21, 21-12 dan 12-21.

Persatuan Badminton Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$300,000 (RM967,446). – Bernama, 10 April, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.