Bahasa

Dagangan dua hala Malaysia-Perancis akan melonjak tahun ini, kata duta Perancis

KUALA LUMPUR, 15 Mei — Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Perancis dijangka melonjak tahun ini daripada lebih €5.5 bilion (RM21.3 bilion) yang dicatatkan pada tahun 2012.

Duta Besar Perancis ke Malaysia, Martine Dorance, berkata kedua-dua negara telah mengekalkan hubungan baik dalam ekonomi, perdagangan, pendidikan dan politik.

“Perancis mengimport lebih banyak komponen elektronik Malaysia. Malaysia pula membeli kapal terbang daripada kami,” kata beliau kepada pemberita di luar acara seminar Malaysia Perancis mengenai “Perancangan Seni Bina dan Bandar” di sini.

Tahun lepas, perdagangan dua hala berpihak kepada Perancis kerana pembelian jumlah besar pesawat, tambah beliau.

Martine turut menjangkakan lebih banyak syarikat Perancis akan menubuhkan perniagaan di Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana Perancis.

Menurut duta itu, terdapat 265 syarikat Perancis di Malaysia.

Sementara itu, Francois Matraire, kaunselor perdagangan dan komersil di kedutaan Perancis di sini, berkata syarikat-syarikat besar dari Perancis juga telah menubuhkan perniagaan di Iskandar Malaysia di Johor.

“Terdapat beberapa pelaburan besar dari syarikat-syarikat seperti Technip di Wilayah Iskandar. Pelaburan terus masuk dari pelbagai industri seperti peralatan untuk sektor minyak dan gas,” tambah beliau. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments