Bahasa

Daim gesa Najib perangi rasuah, jenayah serta gugurkan pemimpin sudah sampai ‘tarikh luput’

March 24, 2013

Ahli politik berpengaruh itu berkata, rakyat Malaysia tidak akan mempercayai angka atau kenyataan pemimpin negara jika mereka sendiri tidak merasa selamat.

"Tentang keselamatan negara, setiap hari dalam media dan televisyen, terdapat laporan pembunuhan dan jenayah," kata Daim (gambar) dalam wawancara bersama New Sunday Times hari ini.

"Anda kata negara selamat, tetapi jika rakyat tidak merasa selamat, mereka tidak akan percaya kepada anda tidak kira apa pun statistiknya," tambah beliau.

Daim juga berkata Najib perlu merombak Kabinet kerana masih terdapat pemimpin-pemimpin yang sudah melepasi "tarikh luput".

"Bawa masuk muka-muka baharu. Rakyat berpendapat beliau mengekalkan terlalu banyak "orang lama" dalam Kabinet. Kebanyakan mereka sudah melepasi "tarikh luput"," katanya.

Menggesa pengundi agar memberi peluang kepada Najib untuk lima tahun lagi, veteran Umno itu berkata:

"Uji beliau. Berikan beliau mandat. Beliau telah melakukan tugasnya dengan begitu baik. Biar beliau melaksanakannya dan meneruskan dasar-dasar transformasi beliau."

Daim, yang menjadi Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 dan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas pada 1998 sebelum dilantik semula sebagai Menteri Kewangan dari 1999 hingga 2001, berkata adalah bahaya jika pembangkang di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara.

"Saya bimbang kerana beliau tidak arif mengenai ekonomi, sentiasa perlukan orang lain untuk beritahu beliau -- apa yang perlu difikirkan dan apa yang perlu dilakukan," katanya.

Setakat ini, katanya, tidak ada satu pun idea signifikan datang daripada Anwar selaku penasihat ekonomi kerajaan negeri Selangor.

Lebih teruk lagi, Selangor gagal mengendalikan isu air, yang telah mengecewakan kalangan pemaju perumahan, pelabur dan rakyat.

"Kenapa beliau (Anwar) tidak menjadi penasihat ekonomi kepada Kelantan dan Kedah jika Pakatan percaya beliau bagus? Fikirkannya secara serius. Fikirkan masa depan kita," katanya.

Kepada soalan bahawa Anwar percaya bahawa beliau telah ditakdirkan untuk menjadi perdana menteri akan datang, Daim berkata:

"Sebenarnya, takdir ditentukan Tuhan. Anda mungkin sudah begitu hampir dengan jawatan itu, orang menyokong, Tuhan yang menentukannya. Saya rasa Tuhan masih sayangkan Malaysia."

Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, Daim, yang ramalannya sering menjadi perhatian, berkata BN boleh menang tetapi perlu ada perpaduan dalam kalangan parti gabungan.

"Umno mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli, MCA, kira-kira satu juta dan MIC, kira-kira 600,000. Itu sahaja sudah kira-kira separuh daripada pengundi.

"Kini, anda hanya perlukan mendapatkan sokongan daripada golongan atas pagar, dengan itu anda mampu menang. Tetapi BN perlu letakkan calon-calon terdiri muka baharu dan bersih yang diterima oleh pengundi," katanya.

Daim berkata sekiranya BN tidak bersatu, kedudukan pakatan pembangkang akan menjadi lebih baik sepertimana yang berlaku pada 2008.

"Kekal bersatu, setia dan jangan sabotaj. Kita perlukan 'tangan' yang mantap dan berpengalaman. Hanya BN mempunyai pengalaman itu.

"Kita telah berjaya mengharungi krisis demi krisis, dan kembali pulih dengan cepat. Kita perlu beritahu orang Cina yang kita tidak boleh melakukan eksperimen. Lihat sahaja Jepun. Lihat di sekeliling kita. Lihat sahaja Britain. Kaji apa yang berlaku," katanya.

Daim berkata Anwar telah berulang kali menyatakan akan berlaku demonstrasi ala Arab Spring sekiranya pembangkang kalah dalam pilihan raya umum akan datang kerana apa yang mereka anggap sebagai "penipuan".

"Beliau (Anwar) telah mewujudkan pentas untuk mewajarkan kekalahan mereka sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya umum akan datang. Pakatan telah menyediakan rakyat supaya mereka boleh menyalahkan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Pertamanya, kita bukannya sebuah negara Arab. Dan keduanya, sekiranya wujud "penipuan" pada pilihan raya umum sebelum ini, bagaimana Pakatan boleh menang di lima negeri pada 2008?

"Arab Spring telah bertukar menjadi Arab Fall (kerana kalangan pemimpin tidak bersatu dan kestabilan terjejas)," katanya.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi