Bahasa

Dalam krisis air Selangor, Khalid mengatakan Chin hanya mementingkan keuntungan

IJOK, 2 Feb — Perbalahan berkenaan bekalan air Selangor berterusan apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid menggambarkan Menteri Kabinet Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebagai seorang ahli perniagaan yang hanya mementingkan keuntungan kerana menyalahkan polisi air murah Pakatan Rakyat (PR) sebagai punca krisis. 

Dua hari lepas Menteri Tenaga,Teknologi Hijau dan Air menyalahkan polisi tersebut dan mengatakan penstrukturan semula air perlu dilakukan kerana mengganggap harga air murah adalah punca kepada pembaziran dan mengakibatkan berlaku krisis air yang menjejaskan isi rumah dan perniagaan di negeri terkaya Malaysia itu dan ibu negara Kuala Lumpur. 

“Saya ingat Peter Chin kena belajar usaha untuk membantu rakyat,” kata Abdul Khalid (gambar) kepada The Malaysian Insider sebagai respon kenyataan menteri tersebut. 

“Tapi beliau bercakap sebagai ahli perniagaan, sudah pastinya kalau saya jadi seperti beliau akan menaikkan harga air,” tambah beliau lagi. 

Beliau juga mempertahankan langkah pemberian air murah yang itu dan mengatakan keuntungan tidak boleh dilakukan terhadap keperluan asas manusia. 

“Air ini adalah hak asasi, maknanya air ini sepatutnya diberikan tanpa perlu membebankan rakyat. 

“Oleh sebab itu kerajaan negeri memberikan air murah,” tegas beliau. 

Apabila ditanya mengenai kenyataan media Chin yang mengatakan kerajaan pusat tidak akan menyekat pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tetapi negeri tersebut memerlukan persetujuan antara pembekal dan pembeli, Abdul Khalid mendakwa Chin tidak memahami permintaan kerajaan negeri. 

“Saya rasa Peter Chin ini tidak faham dengan permintaan kerajaan negeri Selangor. 

“Kerajaan negeri bukan meminta untuk membeli SYABAS, tetapi kami meminta untuk membeli saham pelabur atau pemilik ekuiti di dalamnya termasuk Peter Chin,” tegas beliau lagi. 

Menurut Abdul Khalid lagi, persetujuan mengambilalih bukan terletak kepada pihak SYABAS tetapi sebaliknya adalah dibawah kerajaan pusat memandangkan mereka adalah pemegang saham utama yang terdiri daripada Puncak Niaga, Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) dan Kementerian Kewangan. 

“Dalam pegangan tersebut, Kementerian Kewangan merupakan pemegang Saham Emas iaitu yang terbesar. 

“Oleh sebab itu, kerajaan negeri memohon kepada kerajaan pusat untuk pengambilalihan tersebut,” terang Abdul Khalid. 

Rabu lalu, Abdul Khalid mengumumkan Selangor bercadang mengambil alih perkhidmatan air dari syarikat konsesi air di negeri itu dalam tempoh 14 hari dan menghantar surat bertulis kepada kementerian berhubung perkara tersebut. 

Akan tetapi Chin dua hari lalu memberitahu kerajaan negeri boleh membeli syarikat konsesi air jika syarikat swasta yang memegang kontrak bekalan tersebut bersetuju sambil menambah kerajaan pusat tidak akan menghalang urusniaga tersebut. 

“Bagi saya ini adalah tawaran komersil biasa yang memerlukan persetujuan daripada pembeli dan penjual,” kata Chin dalam satu sidang media di Putrajaya. 

“Jika ada persetujuan, biarkan SPAN dan saya yang tahu,” tambah beliau merujuk kepada pengendali syarikat air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. 

Kemelut isu air di negeri Selangor berterusan selepas pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) menentang projek Langat 2 diumumkan oleh kerajaan pusat kerana menyifatkan ia berkos tinggi dan menyebabkan negeri tersebut terpaksa meningkatkan tarif air dan terpaksa memungkiri janji mereka untuk memberi air murah, polisi PR yang diperkenalkan selepas memenangi pilihan raya 2008. 

Untuk melancarkan proses, Selangor memulakan langkah untuk mengambil alih pada 2009 dengan menawarkan untuk membeli Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS pada harga RM5.7 bilion tetapi kemudiaannya telah ditolak. 

Abdul Khalid berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air di Sabak Bernam menyatakan Putrajaya tidak menghalang kerajaan negeri mengambil alih perkhidmatan air menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan tersebut. 

Tahun lepas, Abdul Khalid dilaporkan telah meningkatkan tawaran lebih daripada RM9 bilion untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti syarikat tersebut termasuk bon. 

Awal bulan ini, ribuan pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kerosakan sistem pam tambahan di Rumah Pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru. 

Gangguan air tersebut antara yang terburuk sejak PR mengambil alih negeri Selangor. 

PR memerintah Selangor dan menguasai 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.