Bahasa

DAP akui kesilapan pengiraan undi punca Zairil tercicir daripada CEC

KUALA LUMPUR, 4 Jan — DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi pada bulan lepas yang mengakibatkan Zairil Khir Johari tewas dalam pemilihan tertinggi jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti tersebut sekaligus memberi tamparan terhadap perjuangan parti yang dikatakan berbilang kaum tersebut.

Pendatang baru Zairil (gambar) merupakan antara salah seorang wakil kaum Melayu daripada 68 calon yang bertanding bagi merebut 20 kerusi ditawarkan dalam CEC dan dilantik secara terus selepas audit mendapati pemilihan pada 15 Disember lalu menunjukkan berlaku kesilapan catatan di dalam proses penjadualan.

“Kesilapan tersebut ditemui selepas kongres dan saya maklumkan kepada setiausaha agung Lim Guan Eng,” kata  pegawai bertugas semasa Kongres Kebangsaan DAP, Pooi Weng Keong, dalam satu sidang akhbar semalam selepas CEC bermesyuarat.

“Lim kemudiaan dengan segera mengarahkan pembetulan keputusan tersebut perlu diberitahu kepada umum selaras dengan audit dalaman.”

Parti tersebut juga sudah mengadakan audit pengiraan semula yang dikendalikan oleh ketua strategi  pilihan raya Ong Kian Ming manakala audit dalaman pula dijalankan oleh TCMK Associated Chartered Accountants.

Setiausaha  Publisiti Kebangsaan Tony Pua memberitahu wartawan DAP telah mengadakan kiraan semula serta-merta yang mana kemudiaannya Zairil memperoleh undi mencukupi untuk terpilih berada dalam CEC.

Beliau menegaskan, proses punggutan kedua yang dilakukan tampak dibuat terdapat sedikit perbezaan daripada keputusan keseluruhan pemilihan.

DAP yang didominasi masyarakat Cina diserang oleh bekas naib pengerusinya Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mendakwa masyarakat Melayu tidak mempunyai tempat dalam parti tersebut.

Zairil, anak bekas Menteri Pendidikan Allahyarham Tan Sri Khir Johari, memenangi kerusi terakhir dalam pemilihan CEC dengan 803 undi.

Pemuda brusia 30 tahun itu telah dilantik sebagai pembantu setiausaha publisiti kebangsaan dalam CEC, selepas kegagalan dilantik buat kali pertama tetapi langkah tersebeut menerima kritikan hebat daripada pengkritik dan lawan kerana mengganggap ia sebagai taktik menutup kelemahan parti tersebut.

Setiausaha politik ketua menteri Pulau Pinang tersebut semalam menceritakan pengalamannya di dalam DAP dan menyifatkan ia sebagai sebuah parti yang telus dan lebih dipercayai generasi muda masa kini.

Beliau menambah bahawa musuh politik melihat pemilihan dalaman parti tersebut daripada aspek perkauman.

“Orang lain sengaja memperbesarkan isu ini,” kata beliau semalam.

CEC ketika ini memiliki dua wakil orang Melayu yang mana Senator Dr Ariffin SM Omar telah dilantik sebagai naib pengerusi parti tersebut.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.