Bahasa

DAP lobi 46 ahli Parlimen bukan Islam BN tentang hudud di Kelantan

Hasrat Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa untuk melobi 87 ahli Parlimen beragama Islam bagi menyokong usul rang undang-undang persendirian hudud kerajaan negeri Kelantan bakal mendapat tentangan DAP.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng (gambar), berkata setakat ini 50 ahli Parlimen menyatakan tentangan terhadap hudud termasuk 38 ahli Parlimen DAP, MCA (7), Gerakan (1) dan MIC (4).

"Seramai 38 ahli Parlimen DAP secara terbuka menyatakan tidak akan mengundi usul persendirian yang dikemukakan PAS.

"Kami memerlukan sokongan 25 ahli Parlimen lagi melalui cara melobi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang bukan beragama Islam bagi menyokong kami membantah rang undang-undang ini," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Segambut, hari ini.

Usul persendirian hudud yang akan dikemukakan oleh ahli Parlimen PAS akan dapat ditentang DAP sekiranya mereka mendapat sokongan melebihi dua pertiga ahli Parlimen iaitu seramai 75 orang.

Annuar pada Sabtu menyatakan kesediaannya untuk melobi ahli Parlimen Umno selain sebelumnya pernah menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang persendirian hudud.

"Jika PAS ingin membawa perkara ini melalui undang-undang persendirian, maka kita mengalu-alukan dan saya sedia melobi ahli Parlimen Umno supaya menyokong.

"Saya sudah bercakap dengan sebahagian besar ahli parlimen Umno dan mereka positif menyokong," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam sidang media yang turut dihadiri Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Lim berkata usaha melobi ahli parlimen bukan Islam BN bukan sahaja digerakkan DAP malah oleh parti komponen BN sendiri.

“Usaha ini tidak dilakukan sendirian. Kami akan menggesa ahli parlimen MCA dan MIC untuk sama-sama memujuk ahli parlimen BN yang lain,” katanya.

Thomas berkata usaha melobi itu akan dilaksanakan pada masa terdekat dan mereka kini dalam proses mengumpulkan maklumbalas dan membuat persediaan.

Ketika ditanya adakah MCA pernah menyatakan sokongan secara peribadi untuk menentang hudud, Lim berkata: “MCA menyatakan dalam media beberapa kali tujuh ahli parlimennya tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian hudud.

“Saya juga difahamkan Gerakan dan MIC turut tidak menyokong usul itu,” katanya.

Lim berkata berdasarkan kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali semalam, apa yang difahami kesemua ahli parlimen PKR turut akan memberi tentangan terhadap hudud.

“Menurut kenyataan Azmin apabila ditanya media, beliau berkata PKR akan mengikut apa yang dipersetujui dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu kerangka dasar bersama.

“Maknanya PKR tidak bersetuju PAS membawa usul persendirian untuk melaksanakan hudud di Kelantan untuk dibawa ke Parlimen,” katannya.

Azmin ketika ditemui media semalam berkata PR tetap tidak akan berganjak dengan pendiriannya mengenai isu hudud seperti yang dipersetujui melalui konsensus antara DAP-PAS-PKR sejak 2011.

Katanya, pendirian Majlis Presiden Pakatan Rakyat sedia ada kekal dan sudah dipersetujui semua pihak.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata sehingga kini PR masih menunggu penjelasan PAS Kelantan berhubung pelaksanaan hukum hudud di negeri itu. – 14 April, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.