Bahasa

Dasar levi pekerja asing adalah satu ‘perhambaan’, kata Tenaganita

Oleh Nomy Nozwir
February 01, 2013
Latest Update: February 01, 2013 10:52 pm

PETALING JAYA, 1 Feb — Keputusan Kabinet agar pekerja asing membayar levi sendiri dikritik badan hak asasi manusia, Tenaganita, yang menyamakan dasar tersebut seperti “perhambaan”.

Menurut pengarah eksekutifnya, Dr Irene Fernandez, sementara para majikan bergembira dengan keputusan Kabinet, penindasan serta kadar gaji yang masih rendah adalah bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Kata Fernandez lagi, pekerja asing terpaksa bekerja lebih masa untuk membayar levi, yang sepatutnya menjadi tanggungjawab majikan.

“Kenapa pekerja perlu bekerja overtime hanya untuk bayar levi?” kata Fernandez dalam sidang media di ibu pejabatnya di sini, bersama dengan wakil dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Aziz Ismail.

“Jelas sekali mereka dieksploitasi oleh majikan.”

Menurut Abdul Aziz, penindasan berlaku terhadap pekerja asing dan mereka diberi tekanan tinggi, tetapi menerima gaji yang rendah.

“Ada di kalangan mereka tidak mendapat gaji selama 20 bulan, kemudian majikan dengan mudah membatalkan kontrak kerja dan menelefon polis untuk menahan mereka, itu yang berlaku.”

Fernandez juga membandingkan dengan negara-negara lain seperti Singapura dan Hong Kong, di mana levinya lebih tinggi, tetapi dibayar oleh majikan.

“Ia sudah menjadi standard di mana-mana di dunia...levi dibayar oleh majikan, bukan pekerja,” kata Fernandez lagi.

Semalam, Kabinet memutuskan untuk menggunakan semula undang-undang pekerja membayar sendiri levi, dan menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), ia akan menguntungkan negara dengan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan dan wang aliran tunai berjumlah RM2 billion tidak keluar dari negara.

Levi untuk pekerja asing itu diperkenalkan pada tahun 1992 dan dibayar oleh pekerja sehingga 2009 apabila kerajaan membuat keputusan untuk pihak majikan membayar dalam usaha menggalakkan pekerja asing untuk datang ke negara ini.

Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, menyokong keputusan Kabinet, dan berkata levi berjumlah RM2 billion itu menyebabkan bebanan kepada majikan.

Beliau mengatakan polisi tersebut turut menguntungkan negara dengan mendapat pendapatan dari levi ini, berbanding sekiranya wang ini keluar ke negara asal.

“Jika pekerja asing tidak dikenakan levi, RM2 billion tersebut sudah pasti keluar dari negara, dan pada saya dasar ini menguntungkan negara,” katanya lagi.

Kumpulan majikan terbesar negara itu memberi amaran dasar gaji minima kerajaan akan mengakibatkan risiko kepada empat juta pekerjaan dan 200,000 perniagaan kecil dan sederhana.

Tenaga kerja Malaysia kini berjumlah 13 juta orang dan empat juta daripadanya ialah pekerja asing, kata Timbalan Menteri Kewangan seperti dilaporkan semalam oleh portal berita The Star Online.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi