Bahasa

Dataran Pahlawan di Putrajaya dijangka hanya siap 2013

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Pahlawan tahun ini kerana lokasi baru Dataran Pahlawan di Putrajaya, yang dipercayai akan menggambarkan kehendak fatwa, dijangka hanya akan siap pada 2013.

“Saya difahamkan bahawa Dataran Pahlawan masih belum siap, sebab itu kita buat di Dataran Merdeka.

“Selain itu, sambutan Hari Pahlawan di Putrajaya hanya boleh diadakan dalam dua tahun akan datang,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan kepada The Malaysian Insider selepas raptai sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka pagi ini.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara itu, jurucakap tersebut berkata, pihaknya hanya menjalankan tugas seperti yang dikehendaki iaitu menganjurkan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka tahun ini.

“Saya hanya jalankan tugas sahaja, pihak kementerian suruh buat di sini (Dataran Merdeka), jadi saya buat sahaja.

“Yang lain-lain saya tidak boleh komen. Kalau nak tahu kenapa, lanjut tentang maklumat Dataran Pahlawan, boleh hubungi Jabatan Perdana Menteri,” katanya lagi.

The Malaysian Insider difahamkan seramai 806 peserta terdiri daripada anggota Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia menyertai perarakan dan persembahan sambutan di Dataran Merdeka yang pertama kali diadakan.

Sambutan Hari Pahlawan yang akan diadakan esok buat pertama kali berlangsung tanpa acara letak kalungan bunga dan bertafakur seperti di Tugu Negara yang selama ini menjadi amalan biasa.

Sambutan kali ini diubah suai dan dijalankan mengikut fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan lebih sedekad lalu, dan yang terbaru April 2009.

Perubahan lokasi sambutan juga selari dengan keputusan majlis tersebut yang memutuskan Tugu Negara di ibu negara, berusia lebih empat dekad, bertentangan dengan hukum syarak.

Pada 31 Mac lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya.

Beliau berkata pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

“Pada tahun ini kita akan adakan sambutan di satu tempat yang tertakluk kepada Perdana Menteri tetapi dataran tetap akan dibuat atas persetujuan bersama antara Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jakim.

“Elemen-elemen perayaan kali ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.

Zahid berkata perkara itu turut dipersetujui oleh Najib, malah beliau meminta permbinaan dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar itu disegerakan.

Berdasarkan maklumat diperoleh The Malaysian Insider dari Kementerian Pertahanan, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menyempurnakan sambutan kali ini.

Beberapa acara-acara seperti majlis peringatan termasuk bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya  tidak  boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.

Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Bagaimanapun acara tiupan “The Last Post” dan “Rouse” akan diteruskan kali ini.

Deklamasi sajak dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran akan diadakan.

Majlis tahlil khas akan diadakan di Masjid Negara pada malam ini.

Sebelum ini Majlis Fatwa Kebangsaan pernah mengeluarkan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan “Last Post”, bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan “Rouse” yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 21 hingga 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera.

Ia telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.

Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.