Bahasa

DBKL tahan 385 warga asing berniaga tanpa lesen

January 06, 2013

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Seramai 385 warga asing ditahan dalam Operasi Penjaja Warga Asing oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Pasar, Pudu dan Jalan Silang hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Minhad Ahmad berkata dalam operasi tiga jam bermula 11.30 pagi itu yang ditahan ialah 138 warga Bangladesh, 117 warga Nepal, 105 warga Myanmar, 10 warga Indonesia, 10 warga India dan lima warga Pakistan.

“Kita telah membuat tangkapan secara rambang di kedua-dua lokasi tersebut dan tempat tersebut menjadi tempat tumpuan mereka berkumpul dan juga pusat menjual barangan di gerai-gerai tanpa lesen,” katanya dalam sidang media selepas operasi tersebut di Bilik Gerakan Jabatan Penguatkuasaan DBKL di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua warga asing yang telah ditahan itu akan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk disaring semula dan tindakan akan diambil kepada mereka yang tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah.

“Operasi hari ini sebenarnya kita tumpukan pada premis penjaja tanpa lesen serta pemantauan warga asing,” katanya.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara itu melibatkan 120 anggota penguat kuasa. – Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi