Bahasa

Debat bukan penyudah segala-galanya, kata Abdullah

Oleh Mohd Farhan Darwis
February 21, 2012

KUALA LUMPUR, 21 Feb — Bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan, debat yang dicadangkan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah penamat kepada setiap permasalahan yang berlaku.

Abdullah yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah berkata apa yang lebih penting adalah tindakan dan kepimpinan yang baik yang dapat memberikan penyelesaian kepada masalah yang timbul.

“Debat tidak akan menyelesaikan masalah,” tegas Abdullah (gambar).

“Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan daripada berdebat, kerana debat bukan satu keperluan,” katanya lagi namun enggan mengulas samada debat antara Najib dan Anwar itu tindakan yang wajar atau tidak.

Menurut beliau, hanya perdana menteri yang mempunyai kuasa menentukan beliau ingin berdebat atau tidak dengan Ketua Pembangkang.

“Itu bergantung kepada Najib, nak serta atau tak, terpulang kepadanya,” kata Abdullah lagi.

Selepas debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng minggu lepas, rakyat mula bersuara menuntut Najib berdebat berkenaan polisi negara bersama-sama Anwar.

Pelbagai pihak tampil memberikan pendapat dan galakan, tidak kurang yang menghalang, yang rata-ratanya ahli Umno, terhadap cadangan debat kedua-dua pemimpin tersebut.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah memberi bayangan bahawa peminpin Umno bersedia pada bila-bila masa untuk berdebat, dan rakan sejawatannya dari Pakatan menyahut seruan itu.

Presiden Umno itu bagaimanapun setakat ini enggan untuk berdebat secara terbuka dengan Anwar.

Anwar telah berulang kali menjemput Najib untuk sesi debat terbuka dan mencabar beliau berbincang berkenaan polisi dan hala tuju kerajaan.

Malah, Anwar pernah berkata, debat terbuka itu akan menjadi dirinya dan pengundi melihat calon mana yang akan mereka undi.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi