Bahasa

PKR ulang gesaan Najib terima pelawaan Anwar untuk berdebat

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 06, 2012

KUALA LUMPUR, 6 Mac — PKR hari ini kembali membuat gesaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menerima tawaran debat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepertimana kesanggupan Najib untuk berdebat dalam kerangka wacana demokrasi sebagaimana dinyatakan di dalam blognya.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution (gambar), berkata, pihaknya berharap kesanggupan Najib kali ini benar-benar jujur kerana tawaran Anwar yang dibuat pada Januari 2011 untuk berdebat berkenaan kedudukan ekonomi, fakta-fakta yang terkandung di dalam Buku Jingga dan penyelewengan negara masih lagi terbuka.

“PKR sekali lagi menggesa agar Najib menerima tawaran debat ini sesuai dengan semangat demokrasi yang diluahkan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Melainkan Najib tidak merasakan isu ekonomi, tawaran dasar Buku Jingga, tatakelola kerajaan yang baik, kenaikan kenaikan kos hidup dan penyelewengan negara merupakan isu-isu penting untuk dibahaskan.”

Menurut Saifuddin, Najib turut meluahkan kebimbangannya tentang keupayaan lawannya di dalam perdebatan untuk bercakap berdasarkan fakta dan mengawal emosi.

“Sebenarnya kebimbangan ini tidak patut wujud sekiranya beliau yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan yang tepat.

“Keputusan di tangan perdana menteri sama ada beliau jujur mahu membolehkan rakyat Malaysia mendengar secara langsung dasar-dasar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) didebatkan dalam kerangka demokrasi dan membuat keputusan yang sewajarnya,” tegasnya.

Justeru, Saifuddin menambah, pihaknya masih lagi menantikan jawapan beliau untuk berdebat dengan Anwar yang sehingga kini masih lagi tidak berbalas.

“Malangnya, kami belum menerima sebarang jawapan daripada Perdana Menteri tentang tawaran tersebut,” katanya lagi.

Di dalam blognya semalam, perdana menteri menjelaskan kesediannya untuk berdebat namun menegaskan lawannya harus “bertimbang rasa” dan tidak membangkitkan teori konspirasi untuk memenangi perdebatan.

Beliau memberi peringatan bahawa negara akan akan menjadi lemah sekiranya pemimpin politik memilih untuk hanya melakukan provokasi berbanding menunaikan tanggungjawab mereka.

Pemimpin pembangkang berulang kali telah menyuarakan desakan supaya Najib menerima cabaran Anwar dan menjelaskan ia merupakan platform terbaik untuk mereka berhujah berkenaan pendapat dan idea mereka, serta polisi untuk membantu rakyat memilih parti untuk diundi.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre, majoriti pengundi di Semenanjung Malaysia mahukan debat berkenaan berlangsung kerana ia mampu membuatkan keputusan untuk mereka mengundi mana-mana parti.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi