Bahasa

Debat Najib-Anwar bukan penentu undi Melayu bersatu

SHAH ALAM, 28 Feb – Debat yang dicadangkan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah penentu bagi penyatuan undi masyarakat Melayu di negara ini, kerana undi bangsa itu telah lama berpecah sejak PAS bertanding dalam pilihan raya menentang Umno suatu masa dahulu.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar), debat yang dicadangkan antara dua pemimpin itu tidak akan menyatukan undi Melayu kerana rakyat tetap akan menilai daripada hasil perbahasan mereka untuk mengundi.

“Perpecahan undi Melayu itu adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan kerana ia sudah berlaku apabila wujudnya dua parti yang berasaskan bangsa Melayu iaitu PAS dan Umno.”

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor ini, debat berkenaan seharusnya dilaksanakan bagi mereka mengutarakan idea-idea, kerana melalui debat, akan berlakunya pencerahan minda rakyat, dan mereka akan membuat keputusan untuk memilih pemimpin.

“Melalui debat, rakyat diberi ruang untuk membuat keputusan ketika pilihan raya,” katanya ketika Wacana Sinar Harian bertajuk “Mengapa Undi Melayu Pecah”,di pejabat Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Tambahnya lagi, seharusnya tidak timbul pertikaian berhubung perkara itu, sebaliknya persoalan yang timbul adalah mengapa undi Melayu lari daripada Umno.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat bersetuju dengan cadangan debat tersebut, namun mengharapkan agar debat itu tidak dijadikan pentas ceramah politik, sebaliknya perbahasan bernas yang dapat melakukan percambahan idea dalam kalangan masyarakat.

“Saya setuju debat itu dijalankan, tetapi harus bezakan antara debat dan ceramah politik. Jika sekadar debat tanpa hala tuju dan wawasan ia tak ke mana, kalau dapat, biarlah dikemukakan perkara yang realistik, dan bukannya retorik,” katanya yang merupakan salah seorang panel jemputan.

Turut menyokong cadangan tersebut adalah Ketua PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng dan Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kasim, yang juga panel dalam wacana berkenaan.

“Perkasa menyokong debat antara perdana menteri dan Anwar Ibrahim kerana melalui perbahasan ilmiah berkenaan, kedua-dua pemimpin itu dapat mengemukakan ideologi masing-masing,” katanya yang  bersetuju dalam kaedah bersatu dalam kepelbagaian.

“Perkasa juga akan menyokong mana-mana pihak yang selari dengan matlamat dan dasar perjuangan kami,” tegasnya lagi.

Chua bagaimanapun menjelaskan, berdasarkan situasi sekarang, tidak relevan untuk mempersoalkan berlakunya perpecahan undi Melayu, kerana menurutnya, apa yang lebih penting adalah kesamaan hak semua bangsa.

“Kita berbeza dalam fikiran, prinsip dan ideologi. Seharusnya kita harus menyokong kerajaan yang mengambil berat terhadap kepentingan rakyat,” katanya.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.