Bahasa

Deepak akan memohon imuniti daripada Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Usahawan permaidani kontroversi Deepak Jaikishan mahu dirinya diberikan imuniti di bawah Akta Perlindungan Saksi sebelum mendedahkan lebih banyak lagi skandal pemimpin tertinggi negara, kata beliau dalam satu sidang media pagi ini selepas pertemuan dengan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar di ibu kota.

Deepak (gambar) berkata langkah susulan yang bakal diambilnya adalah menulis permohonan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bagi mendapatkan imuniti tersebut dan akan dibantu dengan khidmat nasihat daripada Lajnah Guaman PAS Pusat.

“Saya akan hantar surat kepada Peguam Negara (Gani Patail) bagi memohon imuniti serta menyerahkan dokumen rahsia sulit yang saya miliki ini,” kata Deepak.

“Dalam surat tersebut, saya akan dedahkan secara terperinci tentang skandal yang melibatkan pemimpin tertinggi dalam negara.”

Sementara itu, peguam PAS Asmuni Awi yang turut bersama dalam sidang media menjelaskan dibawah Seksyen 2 (b) Akta Perlindungan Saksi menyatakan secara jelas Deepak layak dan mempunyai asas yang kukuh untuk mendapat imuniti.

“Selepas meneliti, kami dapati Deepak mempunyai asas layak untuk mendapatkan perlindungan dibawah akta tersebut,” kata Asmuni.

“Saya sendiri juga akan menghantar surat kepada AG (Peguam Negara) supaya memberikan imuniti kepada Deepak.”

Pertemuan Deepak dengan pemimpin PAS hari ini merupakan yang pertama sejak Mahfuz menawarkan diri menjadi perantara bagi usahawan karpet itu dan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) untuk mendapatkan imuniti pada bulan lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyatakan kesediaan meluangkan masa untuk Deepak bagi mendengar permohonan itu.

Deepak sebelum ini mengakui beliau telah membantu mendapatkan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam bagi menukar akuan bersumpah pertama berhubung pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribu, termasuk mencari dua peguam untuk mendraf akuan baru.

Majlis Peguam juga sedang menjalankan siasatan berkenaan identiti peguam yang terlibat dan kemungkinan berlakunya kesalahan dalam proses mendraf akuan bersumpah Balasubramaniam berkenaan pembunuhan Altantuya itu.

Misteri menyelubungi identiti peguam Balasubramaniam yang merangka akuan bersumpah kedua bertarikh sehari selepas SD pertama pada 3 Julai 2008 berkenaan dengan pembunuhan Altantuya dimana dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang telah dijatuhkan hukuman bunuh.

Dalam sidang akhbar tergesa-gesa pada 4 Julai 2008, Balasubramaniam yang ditemani oleh Arulampalam muncul untuk menarik kembali akuan bersumpah pertama, dimana beliau menafikan kesemua isinya dan berkata beliau dipaksa untuk menandatanganinya.

Beliau kemudiannya keluar dengan kenyataan kedua dimana beliau dakwa kemudian pada tahun 2009 disediakan oleh seorang peguam yang beliau tidak pernah jumpa dan tidak berunding dengan dirinya apabila merangka dokumen itu.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.