Bahasa

Dewan Rakyat dan enam DUN kerajaan BN bubar untuk PRU13

KUALA LUMPUR, 4 April — Pembubaran Dewan Rakyat semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diikuti dengan pembubaran enam Dewan Undangan Negeri yang dikuasai Barisan Nasional setakat pukul 11.45 malam tadi.

Dengan pembubaran DUN di negeri-negeri itu, hanya satu daripada lapan negeri yang dikuasai BN dan yang akan terlibat dalam PRU13 ini iaitu Johor, yang belum membubarkan DUNnya dan dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

DUN Negeri Sembilan yang juga dikuasai BN telah terbubar secara sendiri pada 28 Mac lalu.

Negeri-negeri lain yang dikuasai parti-parti politik dalam pakatan pembangkang dijangka membubarkan DUN masing-masing dalam tempoh terdekat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU-13 secara serentak.

Selepas pembubaran Dewan Rakyat, Perlis merupakan negeri pertama membubarkan DUN diikuti Sabah, Melaka, Perak, Terengganu dan Pahang.

Menteri Besar dan Ketua Menteri di empat negeri yang dikuasai parti politik dalam pakatan pembangkang dijangka bermesyuarat hari ini bagi sebelum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob merupakan yang terakhir mengumumkan pembubaran DUN hari ini, kepada pemberita di Kuantan pada pukul 11.45 malam tadi.

Pembubaran DUN Pahang yang berkuat kuasa semalam, dibuat setelah beliau mendapat perkenan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, yang menerima menghadap beliau di Istana Mahkota, Kuantan, pada pukul 10.40 malam.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pula mengumumkan pembubaran DUN Terengganu berkuat kuasa semalam, kepada pemberita pada pukul 10 malam tadi setelah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenankan pembubaran itu pada malam tadi.

Lim Guan Eng: Akan membubarkan DUN esok. — Gambar failLim Guan Eng: Akan membubarkan DUN esok. — Gambar failDi George Town, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata beliau akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran DUN selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pukul 9.30 pagi ini.

Di Kota Baharu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata DUN Kelantan akan tetap dibubar sejajar dengan pembubaran Dewan Rakyat dan beliau tidak akan mengubah perkara itu walaupun kerajaan negeri masih boleh menangguh pembubaran itu.

Nik Abdul Aziz: Dijadual menghadap Sultan Kelantan malam ini. — Gambar failNik Abdul Aziz: Dijadual menghadap Sultan Kelantan malam ini. — Gambar failNik Abdul Aziz dijadual menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Telipot di sini malam ini bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran DUN Kelantan.

Sebelum itu beliau akan menghadiri mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Selangor, petang ini.

Di Alor Setar, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau akan menghadap Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini berhubung urusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Selepas itu barulah beliau akan menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di sini bagi memohon perkenan untuk membubarkan DUN. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.