Bahasa

Dhaka pilih TNB laksana loji kuasa arang batu 1,320MW

NEW DELHI, 5 Sept — Cadangan syarikat utiliti Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB), dipilih oleh Bahagian Kuasa Bangladesh bagi melaksanakan pemasangan dan operasi loji berkuasa arang batu 1,320MW di negara itu.
Loji kuasa itu, yang akan dipasang sama ada di Anwara, Chittagong atau di Maheshkhali di Cox’s Bazar, akan dilaksanakan melalui syarikat usahasama yang dimiliki Power Development Board dan TNB, demikian menurut akhbar Bangladesh New Age.
Katanya, loji itu akan menggunakan arang batu yang diimport.
Satu delegasi, yang diketuai oleh Setiausaha Tambahan Bahagian Kuasa, Md Mofazzel Hossain, akan melawat Malaysia bulan ini bagi memuktamadkan memorandum persefahaman terhadap pemasangan dan operasi loji itu, kata pegawai berkenaan.
Syarikat penjana kuasa China dan Thailand telah turut mengemukakan cadangan kepada Bahagian Kuasa bagi mendapatkan projek itu.
Seorang pegawai Bahagian Kuasa memberitahu New Age bahawa mereka lebih mengutamakan cadangan Malaysia kerana ia memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian itu.
"Dengan itu, kami akan memulakan proses rasmi melaksanakan projek itu dengan agensi negara Malaysia itu," katanya.
Kedua-dua syarikat China dan Thai mahu memberikan kontrak kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan kepada syarikat negara masing-masing manakala Bangladesh mahu memberi kontrak itu melalui proses tender, kata pegawai itu.   
"Selain itu, mereka mahu majoriti ahli Lembaga Pengarah syarikat usahasama itu dari sebelah mereka, yang akan menjaga kepentingan mereka melalui lembaga pengarah itu," katanya.
Mengikut cadangan Malaysia, syarikat usahasama itu akan melaksanakan projek itu mengikut skim bina-miliki-kendali, kata laporan itu.
Lembaga kuasa itu dan TNB akan mempunyai agihan kepentingan yang sama dalam projek itu.
Lembaga pengarah itu akan diwujudkan mengikut bilangan ahli yang sama dari kedua-dua agensi berkenaan. Pengerusi dan pengarah urusan akan diketuai oleh petugas secara bersilih-ganti dari kedua-dua agensi itu.
Kerajaan memutuskan melaksanakan projek itu secara usahasama bagi menarik pembiayaan projek itu, kata para pegawai Bahagian Kuasa.
Dengan pelaksanaan projek itu, Dhaka telah mengambil daya usaha melaksanakan tiga projek kuasa berkuasa arang batu, yang setiap satu mempunyai kapasiti penjanaan kuasa 1,320MW, di dalam usahasama berkepentingan sama ramai dengan tiga agensi milik negara.
TNB adalah syarikat utiliti kuasa terbesar di Malaysia, dengan pengalaman memasang dan mengendali banyak loji, dengan kapasiti penjanaan yang disatukan 12,000MW di Malaysia dan Pakistan.
Bangladesh telah menetapkan sasaran jangka panjang untuk menjana kuasa kira-kira 20,000MW menggunakan loji berkuasa arang batu menjelang 2030.
Menurut pelan yang digariskan pada 2010 itu, kerajaan akan menjana elektrik 11,250MW menggunakan arang batu domestik dan jumlah bakinya menggunakan arang batu yang diimport.  — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.