
Atau sekurang-kurangnya berpeluang menonton versi filem terbitan tahun 1962 di mana Mary Badham memegang watak Jean Louise (Scout), Gregory Peck sebagai Atticus Finch dan Philip Alford sebagai Jeremy (Jem).
Saya turut berpeluang mendengar versi rakaman audio (CD) novel berkenaan mulai Julai 2010 dan tidak jemu mendengar berulang kali bacaan Sissy Spacek dalam 11 CD selama 12 jam sambil memandu atau terperangkap dalam kesesakan lebuh/jalan raya.

Walaupun sudah banyak diperkatakan mengenai novel berkenaan yang siap ditulis pada 1959 dan terbit pada 11 Julai 1960 serta menang Pulitzer Prize (1961), dianggap Sastera Klasik Moden Amerika dan menjadi rebutan peminat karya bermutu, tidak banyak hal diketahui tentang si penulis terbabit.
Dalam situasi inilah buku “Mockingbird: A Portrait of Harper Lee” (2006) karya Charles J. Shields boleh membantu pengkaji dan peminat buku untuk mendapatkan gambaran terperinci dan mendalam mengenai pelbagai perkara berkaitan pengarang dan karyanya.
Buku setebal 338 halaman ini terdiri daripada 10 bab. Antaranya, “The Halaman 1/3 Making of Me”, “Atticus Becomes To Kill a Mockingbird”, “Mockingbird Takes Off” dan “The Second Book”.
Bercakap mengenai buku kedua, perlu diakui bahawa “To Kill a Mockingbird” adalah novel tunggal pengarang ini yang lahir pada 28 April 1926 di Alabama; tanpa menafikan ada beberapa tulisannya disiarkan di majalah McCall’s dan Vogue pada 1960-an.
Buku kajian ilmiah “Mockingbird” oleh Charles memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk mengetahui pelbagai perkara yang masih dianggap “misteri” berkaitan Nelle Harper Lee.
Misalnya, mengapa dia tidak menerbitkan novel lain. Apatah lagi memandangkan hakikat bahawa sebaik sudah menyerahkan draf akhir manuskrip bertajuk “Atticus” kepada editor untuk dinilai, wanita itu mula menulis novel kedua berjudul “The Long Goodbye”.
Melalui pembacaan buku ini, kita akan tahu bahawa judul asal novel itu yang terkenal di seluruh dunia adalah “Go Set a Watchman” sebelum ditukar kepada “Atticus” dan akhirnya terbit dengan judul “To Kill a Mockingbird”.
Harper Lee dianggap seorang individu yang pemalu dan tidak suka diwawancara oleh wartawan — sebelum dan selepas kejayaan besar menerusi novel tunggalnya.
Bagaimanapun, buku “Mockingbird” yang disertai nota hujung dan rujukan rasmi dari pelbagai sumber premier dan sekunder membolehkan kita mengenali manusia di sebalik novel berkenaan.
Pembaca berpeluang untuk tahu dari mana Herper Lee mendapat bahan dan idea bagi watak, perwatakan, persoalan, isu dan latar tempat bernama Maycomb yang disajikan dalam “To Kill a Mockingbird”.
Satu lagi kisah menarik dan penting adalah mengenai hubungan persahabatan antara Harper Lee dan Truman Capote sejak kecil. Malah, wanita itu menjadi pembantu kepada Truman dalam membuat kajian dan wawancara semasa mengumpul bahan bagi faksyen “In Cold Blood” (1966).
Lalu, apakah yang menjadi punca persahabatan mereka merenggang selepas puluhan tahun? Mungkinkah ada kaitan dengan kejayaan “To Kill A Mockingbird” mengatasi “In Cold Blood”?
Begitu juga dengan khabar angin yang tidak pernah dinafikan secara rasmi Halaman 2/3 oleh Truman bahawa dia yang sebenarnya “membantu” menulis novel tunggal Harper Lee.
Ringkasnya, buku “Mockingbird” bukan sahaja membantu pembaca mendalami pelbagai kisah mengenai si pengarang, malah mengenai kisah sebenar di sebalik novel “To Kill a Mockingbird” itu sendiri.
Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com dan boleh dihubungi melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my






