Bahasa

Disebalik keengganan Majlis Peguam, panel siasatan Bersih akan atur pertemuan

Oleh Mohd Farhan Darwis
June 04, 2012

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Walaupun Majlis Peguam enggan untuk melibatkan diri dengan panel siasatan Bersih 3.0 yang dipengerusikan Tun Mohammed Hanif Omar, panel enam anggota itu akan tetap mengaturkan pertemuan dengan Majlis Peguam untuk berbincang dengan mereka berhubung siasatan perhimpunan tersebut yang sedang dilaksanakan mereka.

“Kami mengalu-alukan perjumpaan antara panel dengan Majlis Peguam. Malah kami akan aturkan pertemuan dengan mereka,” kata Hanif (gambar) kepada pemberita selepas mesyuarat panel tersebut.

Majlis Peguam sebelum ini telah berkata kepada The Malaysian Insider, badan berkenaan tidak akan menyertai siasatan tersebut, dan menerangkan ianya adalah tindakan sia-sia memandangkan Suhakam telah pun menjalankan siasatan mereka.

“Kami tidak nampak tujuan untuk menjadi pendua kepada siasatan Suhakam ... kami telah pun menegaskan kami hanya akan menyertai inkuiri Suhakam. Tiada kepentingan umum dengan mengadakan dua siasatan serentak,” kata Naib Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong.

Bersih turut bersependapat dengan Majlis Peguam untuk tidak akan bekerjasama dengan panel siasatan Bersih yang diketuai Tun Hanif Omar kerana penyiasatan tersebut hanya akan “mempunyai kekurangannya” di bawah pimpinan beliau.

Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenavasan turut mengulangi pendapat Majlis Peguam bahawa penyertaan Hanif ke dalam panel siasatan itu selepas mengeluarkan kenyataan mengkritik Bersih 3.0 sebagai komunis, akan memberikan kesan terhadap keadilan siasatan tersebut.

“Itu terpulang kepada mereka. Tapi siasatan kami perlu bersifat adil dan mengambil pandangan kedua-dua pihak,” kata Haniff apabila ditanya sama ada Majlis Peguam akan bersetuju untuk berjumpa panel tersebut.

“Mereka kata meskipun saya sepatutnya tidak menjadi pengerusi, mereka bersedia untuk berjumpa dengan saya,” tambahnya lagi.

Isnin lalu, Hanif telah menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan Majlis Peguam dan Bersih bagi menyatakan kesediaan bekerjasama dengan mereka secara sukarela.

Panel itu juga menegaskan mereka adalah satu badan alternatif buat pertubuhan yang menuntut untuk membersihkan sistem pilihan raya, malah, mereka juga sanggup untuk berjumpa Majlis Peguam dan Bersih di pejabat masing-masing demi kebaikan bersama.

“Mengenai kebimbangan bahawa ada pihak yang tidak mahu bekerjasama seperti Majlis Peguam dan Bersih, saya menyatakan di sini panel ini adalah saluran alternatif untuk mereka sedia bekerjasama secara sukarela.

“Dalam hal itu, saya sanggup berjumpa mereka termasuk hadir ke pejabat mereka sendiri,” kata Hanif.

Ekoran Bersih 3.0 duduk bantah 28 April lalu, Haniff mendakwa terdapatnya penyokong komunis dalam perhimpunan tersebut, malah turut bersetuju dengan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa demonstrasi tersebut adalah cubaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Hanif kemudiannya dilantik Putrajaya bagi mempengerusikan panel tersebut dengan enam anggota untuk menyiasat dakwaan keganasan pihak polis.

Pentadbiran Najib telah pun membentuk dwipartisan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen untuk penambahbaikan pilihan raya selepas Bersih 2.0 Julai lalu, dengan mengemukakan 22 syor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Namun Bersih dan pembangkang telah menolak syor tersebut kerana ianya tidak meliputi keperluan untuk membersihkan sistem daftar pemilih dan menghapuskan “pengundi hantu”.

Disebalik kritikan tersebut, Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008 telah memperolehi 82 kerusi Parlimen, yang mana Barisan Nasional (BN) menegaskan ianya adalah bukti sistem pilihan raya di negara ini adalah benar dan adil.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi