Bahasa

Disebalik sekatan, ‘Himpunan 505’ Kedah diteruskan, tukar lokasi

Mukhriz telah menolak permohonan PR untuk menggunakan Stadium Suka Menanti. - Gambar failMukhriz telah menolak permohonan PR untuk menggunakan Stadium Suka Menanti. - Gambar failKUALA LUMPUR, 20 Mei – Walaupun permohonan Pakatan Rakyat (PR) untuk menggunakan Stadium Suka Menanti ditolak pentadbiran Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir, Himpunan 505 yang dijadualkan pada 21 Mei ini akan tetap diteruskan di Kompleks PAS Kedah.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain kesal dengan pentadbiran Mukhriz, himpunan yang turut membariskan kepimpinan tertinggi PR itu tetap dijangka akan menarik kehadiran lebih 50,000 penyokong PR walaupun lokasinya berpindah di saat-saat akhir.

“Kita tukar lokasi ke Kompleks PAS Batu 9, Kota Sarang Semut. Kita tidak perlukan permit kerana itu adalah premis kami,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Antara kepimpinan PR yang dijangka hadir adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Sebagai menteri besar muda, Mukhriz diharapkan untuk menyaingi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana mengatakan kementerian itu bukan kementerian BN (Barisan Nasional), tetapi untuk semua.

“Namun saya kecewa kerana beliau orang muda yang tidak dapat menjiwai hak orang muda untuk melaksanakan demokrasi terbuka, bebas, dan memberikan hak kepada semua,” katanya.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS turut menegaskan, pentadbiran PAS Kedah sebelum ini tidak pernah memilih bulu dalam memberikan kebenaran kepada kerajaan untuk menggunakan premis kerajaan negeri berkenaan untuk menganjurkan program mereka walaupun mereka memaki hamun PAS.

“Pentadbiran kita dahulu kita amalkan liberalisasi demokrasi di Kedah, Umno dan BN boleh guna (premis kerajaan negeri) untuk maki PR, adu domba, politik perkauman, hasutan semua kita benar ... kenapa kita hari ini dihalang?” soalnya, dan menambah, Mukhriz juga adalah orang muda yang terkongkong dengan perasaan ketakutan terhadap kesedaran politik rakyat.

“Malang bagi anak muda Kedah,” tegas Mahfuz lagi.

Mukhriz telah menolak permohonan pembangkang mengadakan perhimpunan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Selasa ini atas alasan perhimpunan seperti itu tidak wajar diadakan.

Walaupun berpendapat mana-mana pihak boleh mengadakan perhimpunan, Mukhriz menegaskan pengisian himpuna berkenaan juga perlu diteliti sebelum diberikan kebenaran.

“Perhimpunan ini yang telah diadakan di beberapa tempat di seluruh negara bertujuan menimbulkan rasa benci di kalangan peserta terhadap kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat untuk tubuhkan kerajaan Persekutuan serta di Kedah ini. Ini suatu yang tak boleh diterima.

“Kalau setakat nak berhimpun tidak ada masalah. Ini kandungan ucapan oleh pemimpin pakatan pembangkang sarat dengan tohmahan dan dakwaan tidak berasas,” katanya sebelum ini.

Kedah Pada Pilihan Raya 2008 jatuh ke tangan pembangkang dan PAS telah melantik Datuk Seri Azizan Razak untuk memegang jawatan sebagai menteri besar Kedah.

Pada Pilihan Raya 2013, negeri berkenaan jatuh kembali ke tangan BN, apabila pakatan kerajaan berjaya mendapat 21 kerusi, dan pembangkang hanya mendapat 15 kerusi.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.