Bahasa

DPMM akan bina rumah di bawah harga RM200,000 seunit

Oleh Mohd Farhan Darwis
February 14, 2012

KUALA LUMPUR, 14 Feb — Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini mengumumkan akan membina 10,000 unit rumah di seluruh negara pada kadar RM200,000 seunit bagi membantu golongan berpendapatan sederhana di negara ini memiliki kediaman sendiri.

Presidennya, Syed Ali Alattas turut mensasarkan unit rumah berkenaan akan dapat disiapkan menjelang penghujung tahun ini dengan syarat harga tanah mestilah diletakkan pada kadar nominal dan paling rendah.

Projek berkenaan dijangka akan dilaksanakan oleh syarikat milik DPMM, Dewan Syarikah Berhad, dan beliau menjangkakan, sejumlah 100,000 unit rumah akan berjaya disiapkan menjelangkan tahun 2020 untuk tujuan itu.

“DPMM mensasarkan untuk membina sejumlah 100,000 unit rumah menjelang tahun 2020, dengan setiap tahun kami mensasarkan untuk membina 10,000 unit, asalkan harga tanah berada pada paras nominal,” katanya di pejabat DPMM di sini.

Menurutnya lagi, rumah yang ditawarkan adalah rumah teres dan juga apartment berdasarkan keluasan tanah yang diperolehi daripada kerajaan negeri.

“Di Johor kami akan bina di atas tanah sendiri, tapi di Pulau Pinang mungkin harganya akan lebih tinggi kerana faktor tanah yang terhad,” jelasnya dan menambah, 30 peratus daripada rumah berkenaan akan turut dibuka kepada masyarakat bukan Melayu.

Tambah Syed Ali, golongan sasaran yang digalakkan memohon untuk rumah tersebut adalah pasangan yang sudah berkahwin, menetap di bandar dan memiliki pendapatan bersama antara RM3,500 hingga RM7,000 dan akan mendapat pembiayaan penuh daripada institusi kewangan, tanpa bayaran deposit.

“Pihak bank telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kami, malah mereka juga akan memberikan pinjaman penuh kepada bakal pembeli, tanpa wang pendahuluan kerana harga rumah yang ditawarkan adalah sangat rendah.

“Kami sedang membangunkan laman web bagi tujuan ini, dan sekitar Mac, orang ramai yang berminat sudah boleh mula mendaftar, dan kami akan melakukan proses saringan.

“Untuk tujuan itu, DPMM turut mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan rumah-rumah tersebut,” tambahnya.

Jelas Syed Ali, pihaknya akan turut menggunakan khidmat kontraktor daripada kalangan ahlinya memandangkan pertubuhan itu mempunyai seramai 16,000 kontraktor berkelayakan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Menurutnya, rakan dewan perniagaan bukan Melayu beliau turut menyatakan sokongan mereka terhadap rancangan projek tersebut.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi