Bahasa

Dr M bersetuju dengan Daim, Najib perlu buang pemimpin luput tarikh

Oleh Syed Jaymal Zahiid

March 27, 2013
Latest Update: March 28, 2013 02:01 am

Dr Mahathir menyokong kenyataan Tun Daim Zainuddin bahawa prestasi Najib kini dibebani dengan masa lalu. - Gambar failDr Mahathir menyokong kenyataan Tun Daim Zainuddin bahawa prestasi Najib kini dibebani dengan masa lalu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Nama-nama baru dalam Kabinet dapat membantu memperkukuhkan sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, menyokong kenyataan Tun Daim Zainuddin prestasi perdana menteri kini dibebani dengan masa lalu.

Daim, bekas menteri kewangan dipetik dari wawancara  dengan New Sunday Times berkata walaupun Najib membuat “kerja dengan baik”, perdana menteri keenam itu membawa “terlalu banyak kayu mati” dan mesti menyusun semula pentadbiran dan membuang mereka yang tidak berprestasi baik.

“Ya, saya setuju dengan dia. Pokok mati harus ditebang dan dibuang supaya pokok baru dapat ditanam,” katanya menyokong kenyataan Daim kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.Dalam temubual yang diterbitkan di New Sunday Times, Daim berkata kebanyakkan menteri-menteri Najib "sudah melepasi masanya".

"Najib harus rombak Kabinet. Bawa muka baru. Orang fikir dia bawa terlalu ramai 'kayu mati' dalam Kabinet.

"Kebanyakan mereka sudah melepasi masa mereka," katanya lagi.

Menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris The Star, Najib akan menurunkan muka baru, sehingga 40 peratus veteran akan disingkirkan menjelang pilihan raya nanti.

Menurut laporan itu, Barisan Nasional (BN) yang kini dalam fasa terakhir membuat senarai calon, 'sudah mengenalpasti beberapa orang lama yang akan disingkirkan, dan sesetengah darinya bersedia untuk mengundurkan diri".

"Barisan mempunyai 141 ahli parlimen, dimana 75 darinya berkhidmat lebih dari tiga penggal. Sumber mengatakan bukan semua akan digantikan tetapi perdana menteri mahukan muka baru sebagai sebahagian dari Program Transformasi Politik," kata akhbar itu lagi.

Menurut sumber, The Star turut melaporkan empat orang bekas menteri Kabinet seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, bekas Menteri Sumber Alam dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid, bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Ong Ka Ting antara yang bakal digugurkan.

Dalam Kabinet Najib, rombakan sudah pasti dapat mengeluarkan beberapa nama yang akan digugurkan, antaranya nama disebut-sebut adalah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, menurut satu sumber kerajaan memberitahu The Malaysian Insider.

Daim memainkan peranan penting dalam membawa Malaysia keluar dari masalah kegawatan ekonomi tahun 1998.

Bekas menteri kewangan yang dikatakan mempunyai skil analitik yang cekap, yang menjangkakan BN akan tewas majoriti dua pertiga dan empat negeri semasa pilihan raya 2008.

Kali ini, Daim berkata BN akan menang tetapi enggan untuk berkata enggan untuk mengulas jika Najib mampu mengembalikan majoriti dua-pertiga di parlimen.

Beliau mengingatkan Najib dengan membenarkan calon "baru dan bersih" mampu membawa kemenangan kepada BN, dan menambah BN perlu mendapatkan undi atas pagar dalam menerima sokongan empat juta ahli seluruh negara untuk mandat yang lebih kuat.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi