Bahasa

‘Hayati perjuangan pemimpin lampau majukan negara’

March 17, 2013

Dr Mahathir berkata generasi muda pada zaman sekarang berpeluang mendapat ilmu pengetahuan tanpa batasan berbanding pada zaman dahulu. - Gambar failDr Mahathir berkata generasi muda pada zaman sekarang berpeluang mendapat ilmu pengetahuan tanpa batasan berbanding pada zaman dahulu. - Gambar failKOTA KINABALU, 17 Mac — Kemajuan dikecapi negara masa kini bukanlah datang dengan sendirinya tetapi adalah hasil usaha dan perjuangan para pemimpin terdahulu dan rakyat perlu menghayatinya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menegaskan rakyat Malaysia kini menikmati pembangunan dalam semua peringkat termasuk pembangunan minda, beliau berkata perkembangan itu memerlukan generasi muda melengkapi diri dengan ilmu terkini terutama dalam bidang sains dan teknologi.

“Kita sedar bahawa kemajuan kita, hidup selesa dan kebahagiaan bukan datang dengan begitu mudah tetapi ia diusahakan, jika kita sedar maka kita boleh menyediakan diri kita untuk masa depan, kita membekalkan diri kita dengan ilmu pengetahuan yang tidak statik dan sentiasa bertambah seumur hidup,” katanya ketika menyampaikan syarahan perdana di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Likas, dekat sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 hadirin ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,  Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Naib Canselor UMS Datuk Mohd Harun Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Tan Sri Abdul Hamid Egoh serta ahli akademik UMS.

Dr Mahathir berkata generasi muda pada zaman sekarang berpeluang mendapat ilmu pengetahuan tanpa batasan berbanding pada zaman dahulu, sekali gus mereka dapat berfikir dan menilai apa juga pendapat dan pengaruh terutamanya dari negara luar.

“Sekiranya rakyat ingin melihat negara maju, ia bukan saja perlu menguasai ilmu terkini tetapi juga perlu berpegang dengan nilai-nilai dan sifat yang baik serta mulia yang pasti boleh menyumbang kepada kemajuan negara...inilah peranan penting para muda mudi di negara ini,” katanya.

Dr Mahathir menekankan kemajuan sesebuah negara juga terletak kepada tahap keselamatan negara dan setiap individu perlu ada perasaan sayangkan negara.

“Jika rakyat tidak mempunyai semangat patriotik dan setia pada negara, negara tidak akan selamat dan akan hilang kedaulatannya,” katanya.

Untuk terus menjadi sebuah negara yang berdaulat, beliau berkata negara harus dipertahankan dan mereka yang menyertai badan beruniform juga perlu menguasai ilmu pengetahuan.

Dalam hal ini, katanya peranan polis dan tentera yang berani telah mewujudkan satu keadaan yang selamat dalam masyarakat dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan negara amat disanjung tinggi.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menyifatkan penubuhan Pusat Kajian Strategik di UMS sebagai langkah bijak dan tepat pada masanya kerana ia turut merangkumi kajian tentang jenis-jenis peperangan zaman dahulu dan sekarang, terutama pada masa kini yang lebih kepada “perang gerila, gerila bandar dan gerila majmuk”. - Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi