Bahasa

Dr M: Ibrahim Ali bukan jurucakap Umno

Oleh Debra Chong
Penolong Pengarang Berita

February 01, 2013

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Datuk Ibrahim Ali boleh jadi menyokong Umno akan tetapi beliau bukanlah jurucakap parti tersebut, kata penaung Perkasa Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha untuk meredakan ketegangan agama menjelang Pilihan Raya 2013.

Ibrahim yang lantang itu adalah pengasas Perkasa dan presiden yang tercetus akibat ancaman pembakaran bible, terbaru dalam kontroversi “Allah”.

Ibrahim, ahli parlimen sayap kanan Melayu itu, mencetuskan kekecohan minggu lalu apabila beliau dilaporkan menggesa umat Islam agar membakar kitab suci penganut Kristian dalam bahasa Melayu jika menggunakan “Allah” sebagai tujukan kepada tuhan mereka.

“Allah” itu perkataan Arab yang ramai orang Islam di sini percaya hanya eksklusif kepada komuniti mereka.

“Adalah malang Ibrahim Ali perlu mencadangkan membakar bible yang baru dicetak,” tulis Dr Mahathir dalam blog chedet.cc malam tadi. “Itu boleh menjadi cara kita menjauhkan diri dari penerbitan yang tidak diingini. Ia tidak boleh dilakukan kepada Bible sepertimana ia tidak boleh dilakukan kepada Al-Quran.

“Tetapi apa yang Ibrahim katakan tidak mencerminkan pandangan Umno. Malangnya, beberapa ahli politik ingin menjadikannya begitu dalam usaha untuk mendapat keuntungan politik,” bekas perdana menteri itu menambah.

Dr Mahathir, yang masih mempunyai pengaruh besar dalam Umno, dengan cepat menegaskan parti tunjang pemerintah Barisan Nasional (BN) itu percaya “Allah” adalah eksklusif kepada Islam tetapi “ia tidak menyokong pembakaran bible berbahasa Melayu yang menggunakan perkataan ini”.

“Saya menganggap cubaan untuk mengaitkan sokongan Ibrahim kepada Umno bersamaan dengan apa yang beliau katakan adalah pendirian Umno sebagai nakal,” kata bekas presiden parti itu.

“Ibrahim bukan ahli Umno. Beliau boleh menyokong Umno tetapi beliau bukan seorang jurucakap Umno.”

Dr Mahathir di acara sebagai penaung Perkasa. — Gambar failDr Mahathir di acara sebagai penaung Perkasa. — Gambar failDr Mahathir yang pada 2011 menasihatkan Umno supaya tidak bermusuh dengan Perkasa jika mahu memenangi kembali undi Melayu yang hilang pada Pilihan Raya 2008, dilihat menjauhkan diri dengan pendirian keras kumpulan tersebut.

“Walaupun kita boleh mempunyai perbezaan politik, kita tidak perlu mengambil jalan keluar dengan menggunakan perbezaan agama untuk memenangi pilihan raya. Ia adalah pedang bermata dua dan orang-orang yang hidup dengan pedang akan mati oleh pedang.

“Biarkan kontroversi ini diselesaikan secara tertutup oleh orang-orang yang bertanggungjawab. Jangan benarkan pelampau mengambil alih dan mengeksploitasi isu-isu agama,” katanya dan merayu kepada semua pihak untuk menghentikan “penyalahgunaan” mereka dalam isu sensitif ini.

Perdana menteri paling lama berkhidmat selama 22 tahun itu mengingatkan bahawa kontroversi “Allah” telah telah diselesaikan tahun lalu “melalui penerimaan bahawa Kristian Sabah dan Sarawak boleh terus untuk menggunakan perkataan Allah dalam bible bahasa Melayu mereka dan dalam pengajaran tetapi tidak boleh digunakan di seluruh negara”.

Pemimpin berumur 87 tahun itu memainkan peranan penting dalam potensi krisis keimanan daripada meletus apabila pertikaian kalimah “Allah” mula-mula timbul pada awal 1980an — sejurus selepas beliau mengambil alih jawatan perdana menteri.

Umat Islam dan pemimpin Kristian telah bertelagah dalam isu penggunaan kalimah “Allah” walaupun penghakiman Mahkamah Tinggi 2009 memutuskan umat Islam tidak mempunyai hak eksklusif kepada perkataan Arab itu.

Umat Islam adalah kumpulan agama terbesar di Malaysia sebanyak 60 peratus, manakala minoriti Kristian hanya di bawah 10 peratus daripada 28 juta rakyat Malaysia.

Perdebatan timbul semula bulan lalu selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam perutusannya sempena Hari Natal mendesak kerajaan persekutuan agar menarik semula pengharaman terhadap penggunaan kalimah Allah dalam bible berbahasa Melayu.

Kumpulan gereja Sabah juga telah mendakwa kebebasan beragama Bumiputera Kristian diserang sambil menegaskan kebanyakan penganutnya datang daripada Malaysia Timur dan menggunakan bahasa Melayu.

Kumpulan penganut agama Buddha telah menggesa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk campur tangan menyelesaikan pertikaian tentang penggunaan kalimah “Allah” daripada terus berlarutan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengecewakan pemimpin gereja dengan khutbah Jumaat lepas, di mana ia memberi amaran kepada umat Islam di seluruh negara “musuh-musuh Islam” akan cuba untuk mengelirukan mereka supaya mempercayai semua agama berkongsi tuhan yang sama.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib telah mendesak kerajaan agar tidak berlengah-lengah mengambil tindakan terhadap Ibrahim diatas gesaannya agar bible dibakar, dengan mengatakan jika tindakan terus ditangguh terhadap ahli politik veteran itu, memberikan kesan kepada imej kerajaan menjelang Pilihan Raya 2013.

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi