Bahasa

Dr M: Konfrontasi kaum jika Kit Siang menang Gelang Patah

KUALA LUMPUR, 11 April — Kemenangan Lim Kit Siang di Gelang Patah akan menyebabkan konfrontasi kaum, kata Tun Dr Mahathir (gambar) hari ini, serta menyatakan kerjasama ekonomi antara masyarakat Melayu dan Cina akan hancur.

Dengan tinggal beberapa minggu sahaja lagi menjelang Pilihan Raya 2013, bekas perdana menteri tersebut membuat ramalan hebat

dengan menghentam pemimpin pembangkang sambil menggambarkan kemenangan Lim akan menyebabkan timbul pergaduhan kaum sekaligus menghancurkan kerjasama sedia ada antara majoriti masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina.

“Kit Siang akan membawa konflik dan permusuhan antara kaum, untuk menimbulkan sentimen benci dikalangan orang Cina ke atas orang Melayu,” tulis Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc.

Pemimpin veteran berusia 87 tahun tersebut dilihat sebagai ketua kempen de facto, lebih bersemangat berbanding mereka yang lebih muda dalam Barisan Nasional (BN) sekaligus menunjukkan cabaran kali ini daripada lawan mereka Pakatan Rakyat (PR) adalah yang paling sengit.

Anak kelahiran Johor, Lim menerima asakan bertali-arus daripada Dr Mahathir sejak mengumumkan rancangannya untuk bertarung dengan BN di negeri kelahirannya sendiri - yang juga tempat lahir parti Umno dan kem terakhir parti rakan komponennya, MCA.

Dr Mahathir tidak berhenti dalam usahanya memperlekehkan DAP yang mendapat sokongan majoriti masyarakat Cina sebagai tidak mampu berkongsi kuasa dengan rakan politiknya, sama ada parti Islam PAS mahupun parti bandar PKR yang diketuai bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga berkata slogan “Malaysian Malaysia” yang dilaungkan oleh DAP memperjuangkan meritrokasi kaum, mendakwa ia ditiru daripada parti di Singapura, PAP - yang kini merupakan parti pemerintah republik itu - dan menggunakan taktik itu untuk melemahkan pengaruh masyarakat Melayu.

“Apabila Kit Siang membuat keputusan untuk bertanding di kawasan majoriti di Cina Gelang Patah adalah kerana dia mahu orang Cina di sana dan di Johor untuk menolak kerjasama dan perkongsian dengan orang Melayu.

“Satu konfrontasi kaum yang tidak sihat akan menggantikan kerjasama Cina-Melayu yang telah menjadikan Malaysia stabil dan makmur.”

Beliau menambah, “Kerjasama itu akan berakhir apabila Kit Siang menang Gelang Patah.”

Perdana menteri keempat tersebut, yang merupakan musuh utama Lim di Parlimen sepanjang 22 tahun memegang jawatan itu berkata bahawa walaupun keganasan tidak berlaku, “konfrontasi antara ketiga-tiga kaum utama” akan menyebabkan pembangunan negara terganggu.

“Atas sebab ini keputusan Kit Siang untuk bertanding di Gelang Patah akan menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 di negara ini.

“Adakah DAP akan mengakhiri persahabatan Melayu-Cina dan kerjasama di Johor atau “ kongsi” akan kekal sebagai asas hubungan kaum di Johor dan di Malaysia?” soal beliau lagi.

Masyarakat Melayu membentuk kira-kira 60 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia, manakala masyarakat Cina adalah minoriti yang terdiri daripada satu perempat tetapi dilihat sebagai kumpulan pengundi yang berpengaruh.

Lim, yang mengetuai DAP di Johor mengharapkan tsunami politik di selatan, mensasarkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada 83 kerusi parlimen untuk PR di kubu BN di Johor, Sabah dan Sarawak.

Pemangku ahli parlimen Ipoh Timur tersebut baru-baru ini mengumumkan dirinya sebagai calon di Gelang Patah, Johor yang dilihat sebagai salah satu strategi pembangkang untuk menyapu bersih kerusi yang dipegang oleh MCA di selatan tanahair.

Pilihan Raya 2013 dijangkakan paling sengit dalam sejarah walaupun BN seperti diramalkan oleh ramai pihak akan terus menerajui negara selepas itu.

Walau bagaimanapun, PR tidak mustahil untuk membuat kejutan kerana buat pertama kalinya, BN bakal berhadapan dengan pembangkang paling tersusun.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada 5 Mei manakala penamaan calon ditetapkan pada 20 April.

Seramai 13,268,002 layak mengundi dalam PRU13 kali ini.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada pilihan raya kali ini yang dianggap sebagai paling sengit dalam sejarah negara.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.