Dr Mahathir yakin syarikat tempatan mampu bina kapal perang
Beliau berkata syarikat tempatan yang terlibat dalam bidang itu perlu diberi peluang membuktikan kemampuan mereka, dengan menjadikan syarikat NGV Tech yang sehingga kini berjaya membina lebih 140 buah kapal pelbagai jenis, sebagai contoh.
"Saya yakin NGV Tech mampu membina kapal lebih besar dan kapal perang kerana ia syarikat sofistikated yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan membina dua kapal latihan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selain telah menjalin usahasama dengan syarikat dari Korea Selatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran NGV Tech di sini, hari ini.
Beliau turut melawat tapak projek pembinaan dua kapal latihan bernilai RM148 juta sebuah itu, di limbungan milik NGV Tech di Kampung Sijangkang dengan diiringi Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Pengerusi Eksekutif NGV Tech Datuk Zulkifli Shariff.
Kedua-dua kapal yang dibina melalui program pemindahan teknologi antara NGV Tech dan Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co. Ltd, Korea Selatan, itu dijangka siap pertengahan tahun depan.
Mengulas mengenai projek itu, Dr Mahathir berkata beliau berpuas hati dengan pembinaan kapal-kapal latihan berkenaan yang dibuat dengan teliti dan sangat kemas.
Ditanya mengenai bantahan masyarakat Islam terhadap penyiaran filem 'Innocence of Muslims', Dr Mahathir berkata ada masyarakat antarabangsa telah menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk menimbulkan kacau-bilau dan menghina masyarakat Islam dan ia jelas satu perbuatan tidak baik.
"Ini soal agama. Bila orang sengaja hina nabi, kita kena bertindak balas, kalau kita diam dia buat lagi," katanya. - Bernama




