Dua anggota trafik IPD Sandakan didakwa terima rasuah
SANDAKAN, 18 Jun – Dua anggota polis trafik dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menerima wang tunai RM300 sebagai dorongan untuk tidak menyaman seorang lelaki.
Massidin Tibong dan Mohd Kazwan @ Joan Kalim, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, didakwa menerima rasuah daripada Zuliansyah Antonio di Kedai Kopitiam, Lot 10, Blok A, Liberty Parade, Bandar Kim Fung di sini kira-kira pukul 3 petang, 11 Mac tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 bergantung mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Dean Wayne Daly membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Massidin turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu meminta suapan RM400 daripada Zuliansyah sebagai dorongan tidak mengeluarkan saman atas kesalahan trafik di Jalan 23, bandar Sandakan pada kira-kira 4 petang, 10 Mac 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SRPM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Joyce Blasius manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama




