Bahasa

Dua mahkamah pembinaan pertama di Malaysia dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara

Dua Mahkamah Pembinaan yang pertama di Malaysia, masing-masing terletak di Kuala Lumpur dan Shah Alam dirasmikan penubuhannya hari ini oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria (gambar).

Kedua-dua mahkamah khas ini berperanan menyelesaikan pertikaian yang berlaku di dalam industri pembinaan direalisasikan kewujudannya pada April tahun lalu, selepas Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat usul cadangan kepada Badan Kehakiman pada Januari 2013.

Menteri Kerja Raya Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof berkata dalam ucapan perasmiannya, “Penubuhan mahkamah khas ini dapat mengubah operasi perniagaan pembinaan dijalankan di dalam negara. Pertikaian pemegang amanah harta dalam industri pembinaan juga dapat diselesaikan dengan lebih saksama dan cepat oleh juri yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman dalam kes-kes pembinaan,”

Kewujudan mahkamah khas ini juga meletakkan Malaysia sebagai negara kedua di dunia yang mempunyai mahkamah khas untuk industri pembinaan.

Negara pertama adalah United Kingdom yang menubuhkan Mahkamah Teknologi dan Pembinaan (TCC).

Inisiatif penubuhan Mahkamah Pembinaan bermula seiring dengan cadangan pelaksaanan Akta Bayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (CIPAA).

Keperluan wujudnya mahkamah khas dalam industri pembinaan ini adalah penting bagi melengkapi akta ini yang bakal dikuatkuasakan selepas diwartakan pada 2012.

Pelaksanaan CIPAA bakal memberikan kelegaan besar kepada industri pembinaan di Malaysia kerana akta ini bertindak sebagai timbang tara yang berpotensi menyelesaikan masalah berkaitan kelewatan pembayaran dan pertikaian pembinaan yang berpanjangan.

Mahkamah Pembinaan ini akan meningkatkan lagi aspek-aspek keadilan lain di dalam
industri pembinaan.

Menerusi adjudikasi dan sokongan mahkamah khas ini dalam memahami kelewatan yang tertangguh serta tunggakan belanjawan berhubung kes-kes pembinaan, industri dapat lebih memfokus kepada usaha menunaikan tanggungjawab tugasan dan bukannya terlibat dalam pertikaian berlarutan yang tidak wajar.

Melangkah ke hadapan, CIDB menubuhkan satu unit untuk mengesan dan menganalisis kes-kes yang dibawa ke Mahkamah Pembinaan untuk mengkaji apakah punca lazim pertikaian yang berlaku dalam lingkungan industri.

Di samping itu, CIDB juga merancang untuk mendapatkan gambaran yang lebih mengenai isu-isu yang specific berhubung industri pembinaan di Malaysia.

Dengan penubuhan Mahkamah Pembinaan yang sudah pun beroperasi setahun lalu, CIDB meninjau peluang untuk bekerjasama dengan Badan Kehakiman dalam mengakses dan meneliti kes-kes yang telah pun selesai. – Bernama, 14 April, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.