Bahasa

Dua mayat terapung ditemui di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 19 Mei — Polis menemui dua mayat lelaki, kedua-duanya tanpa dokumen diri, terapung di tengah laut dalam dua kejadian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mayat pertama ditemui sekumpulan pemancing di Padang Kota Lama, pada pukul 10.45 pagi tadi.

Mereka kemudian menghubungi polis dan mayat lelaki tidak berbaju serta berkulit gelap itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita, di sini.

Menurutnya hasil bedah siasat tidak menemui unsur jenayah pada badan mangsa dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

Gan berkata pada pukul 1 petang tadi polis menemui satu lagi mayat lelaki di Pantai Sinaran Jelutong, kira-kira 10 kilometer dari lokasi pertama.

Mayat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, berkulit kuning langsat dan berpakaian lengkap itu ditemui oleh pekerja binaan dari kawasan pembinaan berhampiran lokasi kejadian, katanya.

Menurut Gan, mayat itu kemudian dibawa HPP untuk bedah siasat dan siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada badan mangsa.

Polis meminta mereka yang kehilangan anggota keluarga hadir ke HPP untuk proses pengecaman mayat atau ke balai polis berdekatan untuk maklumat lanjut, katanya. — Bernama

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website . We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments