Bahasa

Dua pemimpin DAP Perak kekal bertanding di kerusi DUN dan Parlimen

April 19, 2013

Dr Jeyakumar: Difahamkan akan ditanding atas tiket PKR. — Gambar failDr Jeyakumar: Difahamkan akan ditanding atas tiket PKR. — Gambar failIPOH, 19 April — Dua pemimpin DAP Perak, yang juga sepupu, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming, kekal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen masing-masing yang ditandingi sebelum ini.

Perkara itu diumum pada satu majlis di pekarangan kawasan Medan Istana di sini malam tadi, yang dihadiri ketiga-tiga parti dalam pakatan iaitu DAP, PKR dan PAS.

Ngeh, yang juga Pengerusi DAP Perak, diumum kekal bertanding di kerusi DUN Sitiawan dan Parlimen Beruas manakala Nga, yang juga Setiausaha DAP Perak, bertanding di kawasan baru iaitu DUN Kepayang selain kekal di Parlimen Taiping.

Ketika mengumumkan semua calon DAP, Ngeh berkata parti itu akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-13.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula diumum bertanding di kerusi DUN Changkat Jering manakala Rosli Ibrahim dari PKR di kerusi DUN Alor Pongsu.

Calon PKR Osman Abdul Rahman pula diumum bertanding di kerusi DUN Sungai Manik.

Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty berkata calon parti itu akan bertanding di sembilan kawasan Parlimen dan 19 DUN manakala Pesuruhjaya PAS negeri Abu Bakar Hussain berkata pihaknya meletakkan calon di tujuh Parlimen serta 22 DUN.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari turut diumum sebagai calon PAS di Parlimen Larut.

Bagaimanapun, calon bagi kerusi Parlimen Sungai Siput belum diumumkan namun difahamkan akan diisi anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael D. Jeyakumar atas tiket PKR.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR memenangi tiga daripada 10 kerusi yang ditandingi iaitu Gopeng, Bagan Serai dan Sungai Siput manakala PAS menang di Parit Buntar selain mempertahan kerusi Bukit Gantang menerusi pilihan raya kecil pada April 2009.

DAP pula memenangi enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi iaitu Taiping, Beruas, Ipoh Barat, Ipoh Timor, Batu Gajah dan Teluk Intan.

Perak mempunyai 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi