Bahasa

DUN Galas: Bakal keputusan petunjuk aliran sokongan Melayu PRU-13

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Bakal pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dilihat akan menjadi indikasi arah aliran sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya umum ke-13, yang kemungkinan dipanggil awal tahun depan, demikian menurut penganalisis dan ahli-ahli politik.

Malah, penganalisis juga berkata pertarungan untuk menguasai kerusi DUN Galas akan menyaksikan kemunculan isu-isu menyentuh kedudukan orang Melayu secara lebih agresif oleh kedua-dua Umno dan PAS.

Bagaimanapun mereka tidak menolak pengundi masyarakat minoriti, membabitkan kaum-kaum lain termasuk Orang Asli, akan memainkan peranan yang signifikan dalam menentukan keputusan.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

“Saya melihat pilihan raya kecil Galas akan menjadi petunjuk tentang kedudukan pengundi-pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

“Memandangkan kerusi ini terdiri daripada 70 peratus pengundi Melayu, ini akan menjadi tempat di mana Umno akan berusaha membuktikan bahawa ia parti pembela lebih baik berbanding PAS, malah lebih baik berbanding PKR,” kata beliau lagi.

PAS dan PKR adalah komponen Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu Ibrahim memberitahu bahawa keputusan pilihan raya kecil ini akan menjadi petunjuk langsung sama ada pengundi Melayu memihak kepada PR ataupun Barisan Nasional (BN).

“Kita perlu ingat bahawa ini adalah kerusi yang akan menggambarkan bagaimana pengundi Melayu akan bertindak,” kata beliau dengan merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Galas dalam bahagian Parlimen Gua Musang.

“Ini salah satu daripada beberapa kerusi dalam Kelantan yang bukan memihak kepada PAS (selama ini).

“Jika Umno menang, mereka akan kelihatan kuat dan adalah baik bagi mereka,” kata Ibrahim.

Bagaimanapun penganalisis menekankan, kerusi DUN juga mempunyai pengundi bukan Melayu dalam jumlah yang signifikan.

Oleh itu katanya, jika kedua-dua pihak cuba memainkan isu perkauman, langkah tersebut boleh menjejaskan sokongan pengundi minoriti kalangan Cina, India dan Orang Asli.

“Anda boleh lihat bahawa sejak kebelakangan ini PAS meletakkan  diri mereka sebagai parti yang bukan sahaja memikat pengundi-pengundi Melayu-Islam, tetapi juga pengundi Cina dan India.

“Ada juga pandangan bahawa pengundi-pengundi bukan Melayu boleh menentukan kemenangan pilihan raya kecil pada saat-saat akhir,” kata Ibrahim.

Malah beliau juga percaya bahawa tindakan kerajaan persekutuan dalam menghalang pembinaan gereja Orang Asli dekat Gua Musang akan memainkan peranan dalam arah aliran undi di kerusi DUN Galas.

“Secara tradisi undi Orang Asli sangat kuat bagi BN,” katanya.

Oleh itu kata beliau, mengambil kira perkembangan terbaru ia kemungkinan akan memberi kesan dalam arah aliran sokongan Orang Asli.

“Apa sahaja yang berkaitan dengan isu agama, adalah isu yang menyentuh emosi dan boleh mempengaruhi pengundi,” kata beliau yang merujuk kepada lebih 1,000 pengundi Orang Asli yang bakal membawa kesan besar kepada BN.

Awal bulan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli mengarahkan pembinaan gereja konkrit dibina oleh masyarakat Kristian Temian di Pos Pasik.

Profesor Shamsul Adabi Mamat pula percaya PAS dan Umno akan memainkan isu-isu kaum dalam beberapa minggu menjelang pilihan raya kecil nanti.

“Umno dan PAS akan menggunakan apa sahaja sumber yang ada untuk memenangi pengundi-pengundi Melayu.

“Saya merasakan Umno mahu lebih berfokus dan bersedia untuk menang di Galas, dan mereka perlu menang kerusi ini.

“Jika ada peningkatan undi bagi Umno kali ini, ia akan menjadi petanda awal pengundi akan menyokong dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Shamsul.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia ini memberitahu The Malaysian Insider, pilihan raya kecil Galas sudah pasti akan menjadi ujian bagi Umno sama ada ia boleh menarik penyokong kalangan Melayu di negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak 1990.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa partinya tidak akan menggunakan pendekatan bersifat perkauman ketika kempen pilihan raya kecil DUN Galas ini dengan mendakwa pesaingnya akan menggunakan apa sahaja untuk menarik pengundi-pengundi Melayu.

“Umno akan memainkan isu-isu Melayu untuk memenangi pengundi Melayu,” katanya.

“Jika jentera kempen pilihan raya kecil diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya percaya ia akan lebih kepada retorik Melayu. Isu perkauman akan menjadi tajuk utama dan isu-isu lain akan ke belakang,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Sambil mengakui kerusi DUN Galas secara tradisi adalah bahagian dikuasia Umno dan berada dalam bahagian Parlimen Gua Musang pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, Mahfuz berkata, PAS sudah pun membuat persiapan menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Dengan melihat bahawa Allahyarham Che Hashim sudah lama tidak sihat, kami sudah sibuk dalam mempersiapkan jentera kami.

“Kami tidak akan memainkan isu-isu perkauman, tetapi akan fokus untuk mendapatkan undi daripada kesemua kaum,” katanya lagi.

Bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar berpendapat bahawa kedudukan Umno sama ada akan memainkan isu-isu perkauman bergantung pada keputusan sama ada Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno Gua Musang, akan diberikan peranan signifikan dalam proses kempen nanti.

“Umno akan lebih berhati-hati dalam memainkan isu kaum. Berbanding dengan bahagian-bahagian lain di Kelantan, ia bukan kerusi didominasi pengundi Melayu sama sekali.

“Jika Tengku Razaleigh dilantik mengetuai jentera pilihan raya Umno, maka corak gerak-geri akan berubah, Umno tidak akan agresif dalam mendapatkan undi orang Melayu,” kata Ahli Parlimen Tumpat ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN untuk pilihan raya kecil Galas.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sudah tentu Umno akan memberi fokus untuk mendapatkan pengundi Melayu dan pada masa yang sama akan berusaha lebih untuk mendapatkan pengundi bukan Melayu.

“Ia adalah kawasan orang Melayu, jadi Umno akan memberi fokus untuk mendapatkan undi maksimum orang Melayu.

“Tetapi pada masa yang sama, kami tidak mahu terlalu agresif atau konfrontasi, kami akan lebih berwaspada dalam usaha mendampingi pengundi,” kata Khairy yang juga Ketua Pemuda BN.

Khairy juga menekankan kepentingan pengundi bukan Melayu dengan menjangkakan sokongan pengundi Melayu akan berpecah antara PAS dan Umno.

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.