Bahasa

Enam maut dalam dua kemalangan berasingan di Sarawak

May 18, 2012

KUCHING, 18 Mei — Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata enam orang dilaporkan maut dalam dua kemalangan berasingan di Bahagian Sri Aman di sini pada petang ini.

Lima maut di Km71, Jalan Sri Aman-Kuching dekat Jaong Pantu pada jam 4.15 petang apabila kereta pacuan empat roda jenis Land Curiser yang mereka menaiki dari arah Kuching menuju Sri Aman bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Mat Jusoh menambah “Ia membabitkan tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda dan lori berkenaan serta sebuah kereta. Semua yang maut (lelaki) adalah pemandu dan penumpang pacuan empat roda tersebut yang masih lagi belum dikenali identiti mereka,” ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata polis telah menahan pemandu lori terbabit untuk siasatan lanjut.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Umum Sri Aman untuk dibedah siasat.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, seorang wanita dilaporkan maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler kira-kira 25km dari Sri Aman.

Identiti mangsa masih belum dapat dipastikan. — Bernama

 

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi