Bahasa

Erra Fazira: Saya masih isteri Emran

March 24, 2011

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Aktres dan penyanyi jelita, Erra Fazira, 37, ternyata terkejut apabila mendapat tahu tentang gosip terbaru berhubung rumah tangganya yang mula diperkatakan kembali, lapor akhbar hari ini.

Terbaru, Erra dikatakan sudah tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 36.

Malah, berita juga mula tersebar mengatakan bekas Ratu Cantik Malaysia itu kini hidup bermadu.

“Tiada alasan untuk saya melenting atau melatah dengan kisah terbaru yang saya dengar ini.

“Apa yang boleh saya katakan semua ini tidak betul dan saya anggap ia merupakan kisah lucu,” kata Erra dipetik Utusan Malaysia hari ini.

“Saya masih isteri Emran dan dia tetap pulang ke rumah seperti selalu. Saya juga menganggap perkara ini adalah satu putaran dalam kehidupan seorang artis yang tidak terlepas daripada dicuit dengan berita sebegini,” katanya sambil menambah:

“Hakikatnya, saya sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi seperti ini sejak mendirikan rumah tangga.”

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek berkata demikian kepada pemberita pada selepas merasmikan pelancaran mutiara terbaru keluaran Rafflesia The Pearl Centre, Primadona Classic semalam.

Sebelum ini, rumah tangga pelakon yang mula menempa nama menerusi filem Sembilu pada tahun 1994 itu juga menjadi bualan apabila Engku Emran dikatakan menjalin hubungan dengan seorang wanita yang merupakan teman sekerjanya di Bernama TV.

Erra dan Engku Emran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif saluran berita di Bernama TV itu mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007.

Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan dengan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang berusia hampir dua tahun.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi