Bahasa

Esscomm hantar sepasukan pegawai ke selatan Filipina

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menghantar sepasukan pegawai ke selatan Filipina bagi membantu pihak keselamatan negara itu membebaskan pelancong warga China yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Singamata Adventures and Reef Resort awal bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Mentek (gambar) berkata pasukan itu mengadakan perbincangan dengan pihak risikan Filipina bagi mencari jalan terbaik membebaskan pelancong wanita berkenaan.

Mengulas wang tebusan sebanyak RM36.4 juta bagi membebaskan warga China itu, beliau berkata setakat ini, tiada tuntutan rasmi daripada penculik.

"Kemungkinan ada pihak lain yang membuat tuntutan," katanya dalam sidang akhbar di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Pada 2 April lepas, Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai dan pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40, diculik sekumpulan tujuh lelaki pada kira-kira 10.30 malam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad berkata empat daripada suspek yang dikenal pasti terlibat dalam penculikan itu pernah menetap di Semporna tanpa dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata tiga daripada mereka juga dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang ke Selatan Filipina, manakala seorang lagi pernah bekerja di Semporna.

Sementara itu, Mohammad berkata Esscom merancang memperkenal satu prosedur operasi standard (SOP) untuk diguna pakai pihak berkuasa berkaitan sebagai satu keperluan bagi syarikat yang bercadang menubuhkan pusat peranginan di Sabah.

Beliau berkata Esscom akan membentang SOP itu dalam pertemuan dengan pengendali pusat peranginan di bawah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) esok.

"Kita berusaha sedaya upaya untuk memastikan keselamatan di Esszone sentiasa berada dalam keadaan selamat meskipun kejadian penculikan baru-baru ini begitu mengecewakan," katanya. – Bernama, 14 April, 2014.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.