Bahasa

Fathul Bari semakin teguh di Sanglang

KANGAR, 28 April — Bagi yang tidak biasa dengan keadaan sawah  di Perlis, kita dapat menyaksikan pandangn baharu apabila melihat pukat atau jaring yang biasanya digunakan bagi menangkap ikan, dibentang luas di kawasan persawahan.

Inilah apa yang dapat dilihat di Sanglang yang terletak di selatan Perlis, pukat sering digunakan bagi menangkap burung ayam-ayam dan wak-wak di bendang, yang turut menggambarkan aktiviti sampingan penduduknya.

Sanglang sebagai kawasan pertanian juga tidak mempunyai bangunan konkrit yang tinggi, yang ada hanya bangunan batu yang dijadikan sarang burung walet, satu lagi lambang aktiviti ekonomi penduduk setempat.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang ialah Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Dr Fathul Bari Mat Yahya, 33, yang berazam akan meningkatkan taraf hidup petani dan nelayan jika beliau terpilih sebagai wakil rakyat.

Menurut calon termuda BN di Perlis ini, para nelayan di Sanglang terutama dari golongan muda perlu diperkasakan melalui pelbagai latihan dan kursus supaya mereka menjadi nelayan moden.

“Para nelayan di Sanglang juga perlu dibangunkan ekonomi mereka dengan mengajak mereka menyertai industri hiliran yang secara tidak langsung dapat menangani isu lambakan hasil laut pada musim tertentu,” katanya dengan memberi contoh aktiviti hiliran di Terengganu yang menjadikannya pengeluar utama keropok.

“Mungkin kita boleh buat bebola ikan sehingga menjadikan Perlis sebagai pengeluar utama produk tersebut,” katanya.

Beliau yang merupakan anak bekas Mufti Perlis Datuk Mat Jahya Hussin, pernah berada di Sanglang sejak waktu Subuh untuk bertemu penduduk hingga lewat malam.

“Antara masalah yang disampaikan kepada saya ialah dari soal lambakan ikan hingga soal membaiki rumah yangt uzur,” katanya.

Fathul Bari yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia turut menekankan soal pendidikan apabila berkata beliau berhasrat mewujudkan markas atau Pusat Komuniti.

“Di markas ini mungkin boleh disediakan pusat pendedahan tentang Islam atau dijadikan pusat latihan atau kursus untuk golongan muda,” katanya yang juga berhasrat membawa cadangan kepada kerajaan pusat untuk mewujudkan pusat pengajian berkaitan perikanan.

Seorang bakal pengundi, Remeli Yahya, 54, berkata pengundi memilih jenama parti selain calon.

Namun kali ini ada calon tanpa jenama turut menyertainya, katanya merujuk kepada calon Bebas yang akan turut bertanding di DUN Sanglang yang kini disandang PAS.

Beliau berkata calon perlu kreatif memikat pengundi terutama yang di atas pagar dan muda. – Bernama

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.