Bahasa

Fenomena lompat parti – antara prinsip demokrasi dan survival politik

KUALA LUMPUR, 9 April — Tidak sia-sia bagi sesiapa yang berkunjung ke Pameran Katak dan Kodok di Muzium Alam Semulajadi yang berlangsung sejak 22 Mac lepas di Putrajaya.

Sekurang-kurangnya mereka boleh mengenali ciri-ciri yang membezakan antara katak dan kodok.

Pameran selama sebulan itu menampilkan 38 spesies haiwan berdarah sejuk berkenaan yang menarik perhatian kira-kira 1,000 penghujung sehari.

Maklumat yang terpapar ialah katak mempunyai permukaan kulit yang licin, bertubuh langsing dan kecil malah gemar hidup di kawasan berair, manakala kodok pula berkulit badan menggerutu, gemuk serta pendek dan hidup di kawasan kering.

Ironinya, pada setiap musim pilihan raya seperti sekarang, topik ‘katak lompat’ atau “lompat parti” sering menjadi perbualan ramai, kerana fenomena itu menjadi lumrah politik pilihan raya di Malaysia.

Apa jua pandangan atau persepsi terhadap fenomena itu, topik lompat parti sememangnya menarik dibahaskan malah hujah mengenainya pernah dibangkitkan di mahkamah.

Pada April 1992, Mahkamah Agung ketika itu dalam kes Nordin bin Salleh vs Dewan Undangan Negeri Kelantan, memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan kebebasan berpersatuan yang diperuntuk di bawah Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ini ekoran tindakan kerajaan Kelantan, dan diikuti kerajaan Sabah, ketika itu mengubal undang-undang anti-lompat bagi mengelakkan wakil rakyat bertukar parti.

Ketika itu, terdapat parti politik yang meminta calon pilihan raya mereka menandatangani surat perjanjian tanpa bertarikh terlebih dahulu bahawa mereka akan meletakkan jawatan jika bertindak keluar parti selepas menang pilihan raya.

Perbualan ‘lompat parti’ juga menjadi hangat apabila pada 2008 Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu ghairah mengumumkan beliau akan dapat menarik beberapa anggota parlimen untuk membolehkannya menubuhkan kerajaan pada 16 Sept.

Sejak pilihan raya umum 2008, insiden lompat parti begitu ketara dengan beberapa wakil rakyat keluar parti, sama ada dari pembangkang mahu pun Barisan Nasional, dan menjadi anggota Bebas, baik di Semenanjung mahu pun di Sabah.

Bagi penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, insiden lompat parti sebenarnya menunjukkan politik di Malaysia mengamalkan prinsip demokrasi yang adil kerana tiada akta digubal yang tidak membenarkan mana-mana anggota keluar parti kerana berpindah ke parti lawan yang mahu meraih majoriti.

Katanya tindakan lompat parti biasanya berlaku apabila keadaan terutama ketika sesebuah parti tidak mendapat undi majoriti menjadikannya tidak boleh membentuk kerajaan dan ini menyebabkan ada antara anggotanya merasakan kedudukan mereka terancam sehingga bertindak meninggalkan parti masing-masing dan menyertai pihak lain.

“Secara mudahnya kita panggil ia sebagai politik cari makan dan bukan politik berprinsip kerana sikap anggota parti sebegini selalunya akan mudah tertawan dengan tawaran berbentuk wang ringgit dan jawatan oleh parti lain.

“Sikap tidak kuat pendirian itu mendorong anggota parti itu berasa tidak lagi berguna pada parti selain ada anggota yang lompat parti ibarat ‘merajuk’ apabila tidak tercalon pada pilihan raya,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya, pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) lalu, insiden lompat parti banyak berlaku contohnya di Perak apabila keputusan undi majoriti pada PRU12 itu tidak memihak pada mana-mana parti dan keadaan sebegini menyebabkan ada calon yang rapuh memegang prinsip parti cuba mengambil kesempatan dengan pelbagai alasan untuk menukar ‘kiblat’ politiknya.

Keputusan Mahkamah Agung pada 1992, bagaimanapun tidak menghalang kerajaan DAP di Pulau Pinang melakukan pindaan perlembagaan negeri pada November lepas untuk menghalang tindakan melompat parti di negeri itu, meskipun menyedari tindakan itu boleh dicabar kemudian hari.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata jentera BN akan bekerja keras dan taat setia kali ini ekoran pengalaman pada pilihan raya umum 2008.

“Saya begitu yakin dan percaya akan kesetiaan calon kepada perjuangan parti dalam mentadbir negara dan pasti tiada calon akan hilang kepercayaan pada parti kerana mereka (calon) sendiri tahu, pembangkang tidak mampu mentadbir negara sebaik (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak),” katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau percaya 100 peratus fenomena lompat parti tidak akan berlaku dalam PAS serta yakin dengan kesetiaan anggota PAS.

Bagi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua pula, pihaknya mengambil langkah berhati-hati dengan memikirkan cara terbaik untuk mengelakkan berlakunya lompat parti malah pucuk pimpinan parti itu telah

menyenaraikan calon yang terbaik dan sangat dipercayai untuk bertanding. – Bernama  

 

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.