Bahasa

Gaji minimum: permohonan penangguhan 4,500 syarikat diteliti

November 04, 2012

SEGAMAT, 4 Nov — Majlis Perundingan Kebangsaan mengenai pelaksanaan skim gaji minimum sedang meneliti permohonan daripada 4,500 syarikat yang meminta penangguhan sementara bagi pelaksanaan skim itu, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata hanya syarikat yang terlibat dalam bidang tertentu sahaja yang mungkin akan mendapat penangguhan sementara manakala yang lainnya tetap tertakluk kepada peraturan tersebut yang akan bermula Januari tahun depan.

“Kita sedang teliti permohonan majikan yang terlibat dalam bidang Perusahaan Kecil dan Sederhana yang memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan skim gaji minimum itu.

“Namun begitu, kebanyakan majikan termasuk anggota Persatuan Peladangan Malaysia (MAPA) setuju untuk memulakan skim ini mulai 1 Januari 2013,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan karnival Skills Malaysia Daerah Segamat-Jom Mahir di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan untuk menguatkuasakan pelaksanaan gaji minimum itu adalah mandatori. Kerajaan menetapkan gaji minimum pekerja swasta ialah RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Terdahulu, Subramaniam mengumumkan sebuah Institut Latihan Perindustrian (ILP) akan dibina di Batu Anam, di sini yang akan menumpukan kepada latihan dalam bidang industri asas tani dan perladangan.

“Sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk menyiapkan kemudahan asas fasa pertama institut tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penyerapan pelajar tingkatan tiga dan empat yang tidak cemerlang dalam bidang akademik ke bidang latihan kemahiran mulai tahun depan akan membantu matlamat kerajaan melahirkan 1.6 juta tenaga kerja dengan separuh daripadanya berkemahiran tinggi menjelang 2020.

Katanya kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 300,000 tenaga mahir setiap tahun dalam bidang yang diperlukan negara apabila Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata pelajar yang memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia akan mudah mendapat peluang pekerjaan dan juga berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.

Untuk menjayakan program itu, Subramaniam berkata kementeriannya mengadakan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti-universiti teknikal utama di negara ini. — Bernama

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi