Bahasa

Gaji minimum PR untuk rakyat Malaysia, tidak libat warga asing, kata Guan Eng

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 08, 2013

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Gaji minimum RM1,100 yang akan dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) hanya akan melibatkan rakyat Malaysia, tanpa mengambil kitra pekerja asing, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Guan Eng (gambar) berkata, tidak seperti dasar gaji minimum RM900 kerajaan Barisan Nasional (BN), cadangan PR itu lebih mengutamakan rakyat kerana dasar gaji minimum BN itu turut merangkumi pekerja asing di negara ini.

“Hanya BN mahu membantu pekerja asing ... agar pekerja asing dapat menikmati tahap gaji yang sama dengan pekerja Malaysia,” kata Guan Eng ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif dengan syarikat pengurusan air Pulau Pinang, di Hotel Traders di sana.

“Mungkin BN mahu jaga pekerja asing kerana mengharapkan orang asing akan menyokong mereka ... Itulah sebabnya gaji minima yang dicadangkan oleh PR bertindak adil kepada pekerja Malaysia bukan seperti BN yang lebih mementingkan pekerja asing,” katanya dalam ucapan berkenaan yang diperolehi The Malaysian Insider.

Pelaksanaan gaji minimum dijangka akan memanfaatkan tiga juta pekerja secara langsung.

Kementerian Sumber Manusia sebelum ini berkata pelaksanaan gaji minimum akan berkuatkuasa yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2013.

Daripada jumlah itu hanya 600 dari 4,200 majikan dibenarkan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum tersebut.

Pengumuman gaji minimum bagi sektor swasta dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 30 April dan diwartakan pada 16 Julai lepas.

Perintah gaji minimum 2012 pula berkuat kuasa pada 1 Januari 2013 dan kadarnya akan dikaji semula setiap dua tahun.

Keputusan untuk menguatkuasakan pelaksanaan gaji minimum itu adalah mandatori dan kerajaan menetapkan gaji minimum pekerja swasta ialah RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Bicara web

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi