Bahasa

Gaji polis, tentera dinaikkan dan disetarakan dengan perkhidmatan awam lain

PUTRAJAYA, 11 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikkan gred gaji bagi mereka yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan untuk disetarakan dengan perkhidmatan awam lain dalam sistem saraan baru yang digelar Sistem Saraan Transformatif (SST) yang meningkatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion.

Najib berkata, penyelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari 2013 dan melibatkan 102,434 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 131,904 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala bagi penjawat awam lain dimana kenaikkan gaji antara RM80 dan RM320 sebulan akan bermula pada 1 Julai.

“Semua inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST), kata beliau semasa Perhimpunan Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) disini hari ini.

Selain itu Najib (gambar) juga turut mengumumkan kerajaan akan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan perkhidmatan kepada 13 tahun, berbanding 15 tahun sebelum ini, dan akan melibatkan 17,000 penjawat awam yang layak.

Najib juga turut memberikan 182,434 penjawat awam yang telah menerima gaji maksimum pada 2013 akan diberi kenaikan gaji berdasarkan Jadual Gaji Minimum — Maksimim diperuntukkan Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak 3KGT.

“Sebagai satu dasar, sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3 peratus diberikan kepada pegawai mencapai gaji maksimum, tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi,” katanya di hadapan penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau turut mengumumkan lanjutan kontrak selama setahun bagi hampir 50,000 kakitangan kontrak perkhidmatan awam yang tamat pada Disember tahun ini dilanjutkan kepada Disember 2014.

Selain itu, kelayakan masuk minimum ke perkhidmatan awam turut ditambah baik dan ditetapkan kelayakan pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Skim-skim perkhidmatan yang terlibat adalah kelompok gred jawatan dan gred gaji 1 hingga 10 yang akan dinaik taraf ke gred jawatan atau gred gaji setaraf dengan kelayakan masuk PMR,” katanya.

Kerajaan juga jelas Najib bersetuju bagi meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat laluan pantas, kenaikan pangkat laluan pakar bidang dan kenaikan pangkat laluan kemahiran tinggi.

Najib turut menggesa agar penjawat awam membuat keptusan bijak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang dan berhati-hati dengan pihak yang hanya pandai berjanji tanpa menepatinya.

“Lantas kalau dilihat rekod mereka yang lepas dari menepati janji ia amatlah buruk. Bagi mereka manifesto bukan janji. Dari yang demikian, kalau manifesto bukan janji, maka buat apa kita percaya dengan kandungan manifesto mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan pimpinannya, Barisan Nasional (BN) sekiranya mahu boleh sahaja menjanjikan janji populis, namun atas sebab memikirkan kesan jangka panjang, kerajaan jelasnya mengambil pendirian berfikiran secara waras.

“Ya ... Tentunya kerajaan akan jadi lebih popular. Ya ... Semua pihak rasa seronok, semua teruja, tetapi itu hanya seketika.

“Sebenanrnya kita perlu berfikiran waras apa akan terjadi kemudian hari akibat tindakan populis itu, oleh demikian, pucuk pangkalnya kita akan istiqamah menjadi sebuah kerajaan adil dan bertanggungjawab tanpa memperjudikan apa-apa keputusan yang boleh merosakkan kedudukan kewangan negara,” katanya mengakhiri ucapan beliau.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.