Bahasa

Gempa bumi lemah landa Sumatera Utara, Indonesia

Satu gempa bumi lemah berukuran 4.7 pada skala Richter melanda Sumatera Utara di Indonesia pada 3.16 petang ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa terletak di 35km barat laut dari Padang Sidempuan, Indonesia dan 284km barat daya dari Klang, Selangor.   

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Sementara itu, Editor Bernama TV, D Arul Rajoo, berkata gegaran itu turut dirasainya ketika berada di tingkat tiga bangunan Wisma Bernama di Kuala Lumpur, kira-kira jam 3.20 petang.

"Saya rasa gegaran itu berlaku kira-kira lima saat dan ia berlaku dengan pantas dan rakan yang berada berdekatan saya turut merasai gegaran itu," katanya.

Wartawan Bernama TV, Johari Abdul Rahman turut merasai gegaran itu.

"Ketika itu, saya sedang bekerja. Saya nampak kerusi di sebelah bergoyang serta air dalam botol di atas meja saya berkocak," katanya.

Seorang lagi wartawan penyiaran saluran berita itu, Mazizul Dani berkata lapan petugas turut merasai gegaran itu.

"Kami terkejut melihat barang di atas meja bergegar dan terus saling berpandangan. Gegaran itu hanya berlaku sekali," katanya.

Di SHAH ALAM, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima dua aduan gegaran di negeri itu.

Beliau berkata, bilik gerakan Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia Selangor menerima aduan kira-kira 3.30 petang tadi, memaklumkan berlaku gegaran di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor dan bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Petaling Jaya.

"Tiada sebarang kerosakan dikesan," katanya. - Bernama, 11 Julai, 2013.

 

Comments

Please note that you must sign up with disqus.com before commenting. And, please refrain from comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature and note that comments can be edited, rewritten for clarity or to avoid questionable issues. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments