Bahasa

Generasi muda perlu menjadi pemain dalam pembangunan negara: Muhyiddin

September 15, 2012

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru generasi muda agar menjadi pemain dan bukannya berfungsi sebagai pemerhati dalam meneruskan kesinambungan pembangunan negara. – Foto fail.Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru generasi muda agar menjadi pemain dan bukannya berfungsi sebagai pemerhati dalam meneruskan kesinambungan pembangunan negara. – Foto fail.KUALA LUMPUR, 15 Sept – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru generasi muda agar menjadi pemain dan bukannya berfungsi sebagai pemerhati dalam meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

Beliau berkata belia seharusnya sedar bahawa mereka merupakan asset terpenting negara dan generasi pemimpin pelapis yang bertanggungjawab menjaga dan menentukan masa depan negara.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi keutamaan kepada nasib golongan muda yang amat signifikan untuk mencorakkan negara.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak saban hari menceritakan tentang hala tuju masa depan negara dan peranan serta tenaga anak-anak muda yang harus digembleng bersama-sama untuk membangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Rumah Terbuka Rempit United Prihatin anjuran Pertubuhan Penunggang Motosikal Bersatu Malaysia (Rempit United) di sini. Turut hadir Presiden Rempit United Wazi Abdul Hamid.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata generasi muda adalah tunggak dan sandaran masa hadapan, dan seharusnya dididik dan dibimbing agar mereka mampu menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Tambah beliau, golongan muda haruslah berani untuk menghadapi apa juga cabaran serta menjadi satu agenda penting dalam masyarakat.

“Sebab itu, saya tidak mahu melihat saudara-saudari tidak mempunyai kerja. Kenapa anak-anak muda kita sering mengatakan bahawa tidak ada kerja di negara ini sedangkan hampir tiga juta warga asing datang ke Malaysia untuk bekerja di sini,” katanya.

Justeru, Muhyiddin bercadang agar Rempit United mengadakan perbincangan dengan 239,000 ahlinya dari seluruh negara untuk mendapatkan pandangan serta keperluan mereka agar mereka diberi peluang untuk berjaya.

“Sekiranya ada yang (mahu) berniaga atau keperluan yang lain, saya akan membawa permintaan ini kepada majlis-majlis tempatan, pihak berkuasa dan pihak bertanggungjawab untuk keluarkan lesen agar anak-anak muda diberi peluang untuk berniaga,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan akan sentiasa memberi sokongan kepada usaha-usaha Rempit United kerana ia merupakan satu inisiatif yang baik untuk memberi peluang untuk menjenamakan semula golongan muda, yang sebahagian besar adalah penunggung motosikal.

“Mungkin ada pihak yang salah anggap bahawa mereka yang menunggang motosikal ini tidak merupakan anak-anak muda yang mempunyai aspirasi, kehendak dan kemahuan untuk menjadi warga yang berguna, berjaya serta rakyat Malaysia yang boleh kita banggakan,” jelas beliau.

Sementara itu, Wazi berkata beliau telah menyerahkan satu memorandum kepada Muhyiddin, bagi meminta kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur kepada ahli pertubuhan itu, untuk melakukan aktiviti menunggang motosikal tanpa mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Bekas jaguh lumba motosikal negara itu berkata dalam memorandum itu, Rempit United mencadangkan kawasan Bukit Jalil, antara kawasan yang boleh dijadikan infrastruktur kepada golongan muda yang ingin berseronok sambil menunggang motosikal tanpa ditangkap oleh pihak berkuasa.

Rempit United merupakan pertubuhan permotoran tempatan yang berusaha membantu golongan belia bermotor untuk berekreasi sekaligus mengubah persepsi sinis masyarakat terhadap mereka. – Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi