Bahasa

George selamat tiba ke tanah air selepas diculik 20 hari oleh lanun Nigeria

August 25, 2012

SEPANG, 25 Ogos — George Lipih Ambo, rakyat Malaysia yang diculik sekumpulan lanun di Teluk Guinea, Nigeria selama 20 hari tidak pernah terfikir boleh kembali ke tanah air dan bersatu dengan keluarga.

Anak kelahiran Sri Aman, Sarawak yang masih dalam keadaan trauma ketakutan berikutan berhadapan dengan senjata api M16 sepanjang 20 hari itu, tidak dapat mengawal perasaan apabila bertemu ahli keluarga setibanya di Lapangan Terbang

Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.45 petang tadi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuhan yang menyelamatkan saya, juga pada rakyat Malaysia yang banyak mendoakan keselamatan saya termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas sokongan beliau dalam usaha menyelamatkan saya.

“Fikiran saya masih terganggu ... saya tidak tahu apa nak cakap,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di KLIA di sini, hari ini.

Ketibaan George di KLIA disambut isteri, Bibi Anak Suntek, 42, tiga anaknya Nathaniel Japang, 18, Bill Easter, 15, Aaron Jay, 9 dan ibunya Paun A/k Asan, 60, yang tiba dari Sarawak awal pagi ini.

Ahli keluarga juga sempat menyambut hari ulang tahun kelahiran George yang ke-42, yang jatuh pada 13 Ogos dengan memotong kek. 

George yang bertugas sebagai juru elektrik kapal milik Sea Trucks Group berkata, beliau melalui pengalaman paling menakutkan selepas diculik 15 lanun berumur antara 20 hingga 28 tahun yang bukan sahaja panas baran tetapi khayal dengan dadah serta mabuk mengambil minuman keras sepanjang hari.

“Saya hampir ditembak pada satu hari apabila lanun-lanun yang khayal dan tengah mabuk bermain-main dengan senjata api M16. Lagi sikit peluru itu terkena badan saya.

“Kehidupan 20 hari itu penuh seksa. Kami dikurung di kawasan hutan terpencil dan hanya diberikan roti dan air... kadang-kala itu pun tidak. Tambahan pula gigitan serangga seperti nyamuk, begitu menyeksakan,” katanya.

Katanya, beliau juga pernah putus harapan untuk hidup apabila menyaksikan dua anggota tentera laut Nigeria yang mengawal kapal tersebut ditembak mati oleh kumpulan lanun itu.

“Ketika rundingan itu dijalankan, ketua lanun kata kami mungkin tidak dibebaskan. Setiap hari saya fikir saya tidak akan hidup lagi, ia sebagai mimpi ngeri,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, George bersama tiga rakan sekerjanya dari Thailand, Indonesia dan Iran diculik dalam satu kejadian serangan lanun di perairan Teluk Guinea, Nigeria.

Kesemua mereka dibebaskan tanpa syarat pada Rabu lalu dan dibenarkan pulang ke negara asal masing-masing selepas menerima pemeriksaan kesihatan di hospital tempatan.

Walaupun melalui pengalaman yang ngeri, George berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk meneruskan kerjaya itu atau memilih

kerjaya baru. 

“Kerja di mana-manapun ada bahaya. Sebelum ini pun kapal kami pernah ditawan lanun tetapi tidak sangka kali ini saya akan diculik,” jelas beliau. 

Sementara itu, isteri George, Bibi mahukan suaminya mempertimbang keputusan kerjaya demi kepentingan dan masa depan anak dan keluarga. 

Katanya beliau dan ahli keluarga begitu gembira suaminya selamat tiba ke tanah air.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh mencadangkan supaya kerajaan Malaysia mewajibkan perlindungan

insurans bagi rakyat Malaysia yang bekerja di kawasan berisiko tinggi di luar negara.

“Kita yakin ia memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di negara asing termasuk di kawasan perairan yang berisiko tinggi,” katanya. — Bernama 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi