Bahasa

Gerakan: Masih ada sebilangan besar rakyat keturunan Cina sokong BN

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Masih ada sebilangan besar rakyat Malaysia keturunan Cina menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang.

Oleh itu, ia adalah terlalu mengelirukan untuk mewujudkan persepsi yang salah bahawa semua rakyat Malaysia keturunan Cina mengkhianati masyarakat Melayu memandangkan terdapat juga di kalangan orang Melayu yang menyokong pembangkang, katanya dalam satu kenyataan.

Tan berkata demikian bagi merujuk kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah semalam yang memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya bersedia menghadapi tindak balas daripada orang Melayu atas “pengkhianatan” mereka pada pilihan raya umum ke-13 baru-baru ini.

“Sebagai anggota jawatankuasa aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa ini, Mohd Noor perlu menahan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Malaysia selepas pilihan raya,” kata Tan.

Beliau berkata pilihan raya adalah satu proses demokrasi dengan mana-mana rakyat Malaysia boleh memilih mana-mana parti untuk diundi dan pilihan itu bukan satu tindakan khianat ke atas mana-mana parti politik atau masyarakat. — Bernama

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.