Bahasa

Gerakan murtad beralih ke laman sosial, hina Islam secara terbuka

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Gerakan memesongkan akidah umat Islam masih berlarutan, terbaru gerakan ini yang menggelarkan diri mereka kumpulan penyokong murtad di Malaysia dan Singapura menggunakan laman sosial Facebook bagi meraih sokongan masyarakat.

Dengan penubuhan kelab ini di Facebook ditambah pula penyertaan terbuka kepada mereka yang murtad di negara ini, pengendali laman sosial ini dikesan turut mempelawa mana-mana individu supaya menyumbangkan sokongan moral kepada golongan itu.

Memetik Harian Metro, gerakan itu juga terbuka mengemukakan objektif kumpulan berkenaan sebagai medium kepada sistem sokongan moral untuk golongan terbabit dengan perbincangan mengenai persoalan murtad di Malaysia, termasuk agama Islam serta bangsa Melayu.

Bagaimanapun, mereka yang memasuki laman berkenaan dan cuba berdakwah atau menentang perbuatan serta perbincangan ahli kelab yang menghina dan merendah-rendahkan agama Islam itu segera disekat daripada menjadi ahli.

Sehingga petang semalam seramai 843 orang menyukai pautan dinding kelab terbabit yang mula mencetuskan kebimbangan umat Islam berikutan pandangan dikemukakan keterlaluan termasuk menghina junjungan besar Nabi Muhammad s.aw.

Antara pandangan dikemukakan beberapa ahli kelab itu ialah mempertikai kandungan ayat suci al-Quran, mukjizat nabi selain memaparkan objek menyamai kemaluan yang digambarkan sebagai perkataan Allah dalam bahasa Arab.

Pengendali kelab itu dipercayai cuba memesongkan akidah pembaca dengan memberikan serba ringkas penerangan isu murtad di negara ini serta pada masa sama membuat perbandingan mengenainya dengan beberapa negara Islam lain.

Selain itu, pengendali laman berkenaan turut memberi jaminan keselamatan dan privasi ahli kelab selepas menyertai perbincangan lanjut bersama ratusan pengikut lain.

Selain ahli yang sudah murtad, ahli yang bukan beragama Islam turut mengutuk dan menghina Islam secara terbuka serta memberi gelaran yang melampau bukan sahaja kepada Nabi Muhammad, malah kepada mufti, ulama serta tokoh agama lain.

Mereka juga mempersoalkan beberapa amalan yang disyariatkan kepada umat Islam termasuk pemakaian bagi wanita Islam selain menggelar Islam “agama samseng” hanya kerana umatnya ingin mempertahankan kesucian agama itu.

Pautan pada laman itu juga memaparkan penghinaan terhadap Rasulullah apabila pengendali memaparkan artikel bertajuk “Memahami Muhammad” dengan penuh prasangka buruk terhadap junjungan besar itu termasuk memutar belit sifat mulia Nabi itu dengan kata-kata kesat serta cacian.

“Demi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang murtad dari Islam, mereka tidak digalak menggunakan nama sebenar seperti tercatat dalam rekod negara yang tertulis di kad pengenalan warga negara,” kata satu petikan di laman itu.

Menurut kenyataan itu, individu yang menyertai perbincangan itu dijamin keselamatan peribadi dan digalakkan berbincang dengan menghormati antara satu sama lain.

“Seseorang yang murtad biasanya mengalami krisis peribadi dan risaukan keselamatan kerana hubung kait dengan keluarga dan masyarakat Islam di sekeliling. Jadi marilah kita semua menjadikan tempat ini sebagai tempat pelindung kepada golongan murtad di Malaysia dan menghulurkan bantuan serta sokongan kepada mereka.

“Ini boleh menjadi tempat selamat, penuh dengan dorongan dan sokongan kepada apa jua pilihan dibuat mereka yang murtad. Tanggungjawab kita semua hanyalah untuk menerima mereka ini sebagai seorang individu berhak membuat pilihan dan hidup bebas dari hukuman syariat Islam,” kata pengendali itu.

Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata akta berkaitan murtad diharap dapat dikuatkuasakan segera bagi membendung kegiatan pihak tertentu yang cuba mewujudkan gerakan menyokong gejala itu.

Kata beliau, kegiatan sebegitu dikesan sejak 20 tahun kebelakangan ini dan dijadikan agenda kumpulan tertentu untuk mendesak kerajaan menerima kegiatan murtad di negara ini.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.