Bahasa

Ghani naik bas bersama pekerja Malaysia di Singapura

May 02, 2013

SINGAPURA, 2 Mei — Biarpun mempunyai jadual yang padat terutama pilihan raya umum ke-13 semakin hampir, namun Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman hari ini sempat meluangkan masa menaiki bas untuk bersama-sama rakyat Johor yang bekerja di Singapura.

Beliau yang tiba seawal 6.30 pagi di tempat menunggu bas di hadapan sebuah pasar raya di Bukit Indah di sini, turut bersama-sama beratur untuk menaiki bas, bagi merasai pengalaman rakyat negeri ini yang berulang alik menggunakan kenderaan awam bekerja di negara jiran.

Kehadirannya yang bersahaja dengan pakaian santai pada mulanya tidak disedari sehinggalah ada jurukamera mula mengambil gambar beliau, barulah mereka di sekelilingnya menyedari kehadiran pemimpin nombor satu negeri Johor itu.

Masa menunggu bas lebih 10 minit dan menaiki dua bas yang berlainan menuju ke Terminal Bas Jurong East yang memakan masa hampir sejam melalui Link Kedua Malaysia-Singapura Tuas digunakan sepenuhnya oleh Abdul Ghani (gambar) untuk berbual mesra dengan beberapa orang pengguna yang mulanya bagaikan tidak percaya dengan kehadiran beliau.

Bagi Eunce Chen, 32, yang bekerja di Singapura, beliau agak terperanjat apabil mendapati individu yang duduk di sebelahnya ialah menteri besar Johor.

“Agak mengejutkan saya, tapi beliau seorang yang peramah dan lemah lembut, dan kami berbual tentang keluarga saya di Johor Baru,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, wartawan penyiaran MediaCorp Chia Shee Ying Regina, 30, yang telah 10 tahun bekerja di Singapura, ketika berkongsi perasaannya menaiki bas dengan menteri besar, berkata beliau mengkagumi sifat yang dimiliki calon kerusi parlimen Gelang Patah itu yang bakal berdepan dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang pada PRU Ahad ini.

“Saya merupakan rakyat Johor dan telah 10 tahun bekerja di Singapura, selama ini saya hanya melihat beliau di surat khabar sahaja, dan kesempatan untuk berbual dengannya semasa menaiki bas hari ini amat istimewa kerana saya dapati beliau seorang pemimpin yang ramah dan mudah didekati rakyat,” katanya.

Beliau pemegang taraf penduduk tetap Singapura (PR) yang berasal dari Johor Jaya, tetapi masih memegang masih taraf kerakyatan Malaysia kerana yakin suatu hari nanti beliau akan kembali semula ke tanah air untuk berkhidmat.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata tujuan program itu yang turut disertai beberapa wakil media ialah untuk beliau berada bersama-sama warga Malaysia yang berulang alik bekerja di Singapura.

“Kami dapati ada lebih 197,000 rakyat Malaysia yang berulang alik setiap hari untuk bekerja di Singapura yang menggunakan kenderaan bas, kereta dan motosikal.

“Saya sendiri tadi berkesempatan berbual dengan beberapa orang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, yang rata-ratanya menyatakan soal kadar nilai mata wang, merupakan sebab utama mereka bekerja di sana bukannya sebab kekurangan peluang pekerjaan,” katanya.

Sebaik tiba di Terminal Bas Jurong East, beliau turun untuk bersarapan.

Secara keseluruhan, katanya, beliau berpuas hati dengan perjalanan pada hari ini termasuk dari segi perkhidmatan bas yang selesa. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi