Bahasa

Golongan muda penentu PRU-13, kata Abdullah Ahmad Badawi

March 10, 2013

KEPALA BATAS, 10 Mac — Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai 'pilihan raya orang muda' dan golongan itu bakal menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN).

Abdullah berkata beliau percaya senario itu secara tidak langsung akan membantu BN untuk menang kerana kecenderungan pengundi muda ketika ini dilihat sudah kembali menyokong parti tersebut.

"Jumlah pengundi muda yang semakin meningkat sekarang ini akan menjadikan suara kumpulan itu sebagai penentu kemenangan BN pada PRU-13 nanti. Jadi, kita memerlukan sokongan mereka untuk memastikan kemenangan BN untuk terus mentadbir negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Himpunan Anak Muda Sokong BN Parlimen Kepala Batas hari ini, yang dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Pada majlis itu, beliau mewakili Umno bahagian Kepala Batas menyampaikan sumbangan RM6,500 kepada Tabung Wira Lahad Datu Kumpulan Media Prima Berhad. Sementara itu, Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata beliau yakin pengundi muda di kawasan itu akan memihak kepada BN pada PRU-13.

Beliau juga kagum dengan semangat ribuan golongan muda yang hadir pada majlis hari ini dan yakin sokongan seperti itu akan diterjemah dalam PRU-13.

"Golongan muda yang mewakili 40 peratus jumlah pemilih di Kepala Batas begitu komited membantu jentera pilihan raya di setiap cawangan peti undi di Parlimen ini.

"Mereka juga bekerja keras untuk menarik sokongan rakyat bagi memilih BN, jadi saya percaya anak muda di Kepala Batas bersama BN," katanya. Parlimen Kepala Batas mempunyai lebih 55,000 pengundi berdaftar. — Bernama

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi