Bahasa

Guan Eng: 4,000 keluarga bakal dihalau untuk 9,999 unit rumah dijanjikan Najib

May 01, 2013

Menurut Lim, Najib seharusnya berbincang terlebih dahulu dengan 4,000 keluarga yang menetap di kawasan berkenaan sebelum membuat pengumuman. - Gambar failMenurut Lim, Najib seharusnya berbincang terlebih dahulu dengan 4,000 keluarga yang menetap di kawasan berkenaan sebelum membuat pengumuman. - Gambar fail

KUALA LUMPUR, 1 Mei — Empat ribu keluarga akan dihalau dari Air Putih, Air Hitam dan Paya Terubong di Pulau Pinang untuk memberi laluan kepada pembinaan 9,999 unit rumah mampu milik yang diumumkan oleh Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak semalam.

Menurut Lim Guan Eng, Najib telah mengorbankan perumahan yang dikongsi 4,000 keluarga tanpa berbincang dengan mereka terlebih dahulu semata-mata untuk keuntungan politik.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat terkejut dengan pengumuman Najib kononnya melalui 1Malaysia Development Berhad, beliau telah menandatangani perjanjian beli tanah di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong bagi membina 2,222 rumah kos rendah dan sederhana serta 1,111 rumah mampu milik,” kata Lim yang juga ketua menteri sementara Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini.

“Tanpa memaklumkan 4,000 keluarga yang terlibat dan bakal dihalau dari tempat tersebut, Najib telah menghina mereka kerana sanggup mengorbankan perumahan yang dikongsi 4,000 keluarga hanya kerana tujuan politik,” tambah beliau lagi.

Semalam Najib berikrar untuk membina 9,999 pangsapuri mampu milik dikubu kuat DAP disekitar kawasan Rifle Range, yang akan dibangunkan semula dari 3,735 unit kepada 4,800 unit apabila digabungkan dengan tanah polis.

Menurut Lim, Najib seharusnya berbincang terlebih dahulu dengan 4,000 keluarga yang menetap di kawasan berkenaan sebelum membuat pengumuman.

“Sesungguhnya janji Najib untuk membina 9,999 rumah mampu milik di Air Putih, Ayer Itam dan Paya Terubong tidak pun termasuk dalam manifesto BN yang dilancarkan oleh Najib sendiri.

“Najib juga tidak jujur apabila berjanji bahawa mereka yang tinggal di 962 rumah satu bilik di Kampung Melayu akan diberi rumah tiga bilik di dalam skim rumah mampu milik di Ayer Itam,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu turut mengatakan Tan Sri Nor Mohamad Yakcop pada tahun 2008 pernah memberi janji sama akan tetapi tidak pernah ditunaikan

Perumahan mampu milik telah menjadi keutamaan kepada Najib apabila kerajaannya memulakan PR1MA atau agensi Perumahan Rakyat 1Malaysia untuk membangunkan projek berkos RM400,000 bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 sebulan dan merupakan majoriti bagi pengundi dan penduduk bandar.

Perumahan selalu menjadi isu utama dikalangan pengundi menurut peninjau bebas Merdeka Center dimana 24 peratus yang mereka temuramah mengatakan “rumah mampu milik” adalah isu utama.

Janji perumahan mampu milik telah diulangi Najib dimana-mana untuk meningkatkan sokongan daripada beberapa kerusi Parlimen kunci dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya 2013.

Dua minggu lalu, pengerusi BN itu melancarkan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dengan rumah berharga dari RM150,000 sehingga RM300,000 di pusat pentadbiran Putrajaya.

Kerajaan akan membina 10,336 unit diantara 1,000 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi dengan fasa pertama akan terletak di Presint 11 dan Presint 17 dan akan siap dalam jangkamasa 18 bulan.

Tinggal beberapa hari lagi sebelum rakyat Malaysia membuat keputusan untuk memilih siapakah yang bakal menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya 2013 yang jatuh pada 5 Mei.

BN buat pertama kali berhadapan dengan pembangkang paling tersusun dalam sejarah. Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan selepas PKR, DAP dan PAS berjaya menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN dalam Pilihan Raya 2008.

Hampir 13.3 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi termasuk 5,200 di luar negara akan menentukan 222 bakal ahli parlimen dan 505 bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi 12 negeri.

Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.

 

 

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi