Bahasa

Guru bingung dengan cadangan import guru bahasa Inggeris dari India

Oleh Zurairi AR
December 23, 2012

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Rancangan Putrajaya untuk mengimport guru bahasa Inggeris dari India kelihatan ditentang oleh para pendidik yang meragui idea dari kerajaan untuk membantu pelajar menguasai bahasa tersebut.

Guru bahasa Inggeris tempatan dan kumpulan reformasi pendidikan ketika dihubungi The Malaysian Insider merasa gusar dengan apa yang mereka sifatkan sebagai “penyelesaian jangka pendek”, yang tidak akan membantu kelas berbilang kaum untuk mempelajarinya, kerana penggunaan loghat yang berbeza.

“Saya ingin bertanya, kenapa kita perlukan orang asing mengajar rakyat Malaysia?” kata Khairun Nisa yang mengajar bahasa tersebut di sebuah sekolah di Manjung, Perak.

Guru yang berusia 27 tahun itu berkata dakwaan kerajaan mengenai kekurangan guru bahasa Inggeris adalah mitos dan tidak masuk akal.

Beliau berkata, tenaga pengajar di negara ini adalah cukup mengikut standard yang dimahukan oleh Kementerian Pelajaran.

“Apa yang cuba kita capai? Untuk peringkat mana kita mahu pelajar kita untuk pergi?” katanya lagi.

“Guru tidak dipindahkan keluar dari daerah saya sendiri, tidakkah ini menunjukkan guru bahasa Inggeris mencukupi?” katanya, sambil menerangkan karenah birokrasi perlu dipersalahkan dari masalah kekurangan guru dalam bahasa tersebut.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil pengajar dari luar, termasuk dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pada 2011, Malaysia telah berbincang dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk membawa tenaga pengajar sukarela di bawah program Peace Corps, dimana 75 tenaga pengajar dalam bahasa Inggeris (ETA) telah dilantik sejak tahun ini.

ETA ini di bawah program Tenaga Pengajar Bahasa Inggeris Fulbright yang ditadbir oleh Suruhanjaya Malaysia-Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pelajar (MACEE) dan Kementerian Pelajaran.

Khairun merasa bingung dengan tindakan kerajaan untuk mengimport tenaga luar untuk mengajar bahasa Inggeris, yang turut dikongsi oleh Shawn Shim, yang mengajar di Austin Heights School, sebuah sekolah antarabangsa di Johor.

"Ini adalah idea yang tidak baik dari kerajaan, mereka masih lagi menggunakan sistem tahun 1960an," kata Shim, yang mengatakan sistem pendidikan konservatif di India yang mengamalkan budaya menghafal semata-mata.

"Dan loghat mereka terlalu sukar untuk diikut," katanya lagi.

Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang mengetuai kumpulan reformis pendidikan, Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), turut bersetuju.

"Jika anda mahu mengimport guru, dia mesti dari England, dan tidak walaupun dari Ireland atau Scotland," katanya lagi.

"Dan kita akan belajar melalui intonasi kita sendiri. Kita ada cara kita untuk berbahasa Inggeris, dan kita perlu berbangga dengannya," kata Noor Azimah, yang mendesak pihak kerajaan untuk mengembalikan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, polisi yang dimansuhkan tahun lalu.

Dua orang guru itu turut berkata terdapat faktor luar yang menyebabkan penurunan minat dari golongan pengajar bahasa Inggeris.

"Saya suka membuat kerja secara berkumpulan, dan persembahan, kadang-kala mencari harta karun mini. Tetapi pelajar mengadu apabila kelas hanya untuk berseronok.

"Mereka berkata, 'tak bolehkah kami hanya duduk dan mendengar apa yang cikgu ajar'?," kata Khairun.

Menurut Shim, jumlah tenaga pengajar tempatan yang tidak gembira dengan gaji yang diterima oleh tenaga pengajar asing, menjadikan sebab mengapa warga India mahu mengajar di Malaysia.

"Secara purata, mereka menerima antara RM1,000 ke RM1,500 di India, tetapi mereka akan dapat RM4,000 ke RM8,000 mengikut taraf.

"Pengajar kulit putih pula mendapat dari RM8,000 hingga RM10,000 dan di sekolah swasta, gaji mereka mencecah RM25,000," katanya lagi.

Shawn berkata, kerajaan mahu mengambil tenaga pengajar dari India kerana gaji mereka jauh lebih murah dibandingkan dengan dari Amerika Syarikat atau Britain.

Khairun mencadangkan kerajaan membelanjakan wang untuk menaiktaraf sekolah untuk suasana pembelajaran yang kondusif daripada mengimport tenaga pengajar luar.

"Bukankah suasana pembelajaran yang baik dapat membantu pelajar untuk belajar lebih baik? Kita sudah mempunyai asas, tetapi jika kita dapat menjadikan sekolah lebih ceria, kita perlu meminta kepada PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru)," katanya lagi.

Shim berkata jika kerajaan serius untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia, kerajaan perlu menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran, seperti yang dilobi oleh PAGE dalam beberapa tahun ini.

"Apabila kita mempunyai usaha sendiri untuk menghasilkan tenaga pengajar yang baik, kita tidak perlu mengimport lagi," kata Noor Azimah.

"Pada masa ini, kita tidak mementingkan kurikulum untuk menyokong segmen dalam masyarakat, kita sepatutnya meningkatkan kebolehan kita dalam pelbagai bidang," kata Shim lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu berkata kerajaan bercadang untuk mengambil tenaga pengajar dari India untuk mengajar bahasa Inggeris.

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjamin bahawa kementerian pelajaran akan melihat dari segala sudut untuk memastikan cadangan pengambilan tenaga pengajar ini akan mengambil kira permintaan negara ini dari sudut pendidikan, sebagai respon kepada Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) untuk mengkaji secara mendalam sebelum mengambil tenaga pengajar asing.

"Kita akan pastikan bahawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari India ini mempunyai kelulusan dalam pendidikan di Cambridge atau Oxford (universiti) dan memastikan mereka boleh mengajar (matapelajaran) dengan baik," kata Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, yang dilaporkan oleh Bernama di Terengganu semalam.

Seramai 70,000 guru bahasa Inggeris di Malaysia, mengikut kenyataan timbalan pengarah Kementerian Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, dimana dua pertiga dari mereka gagal untuk mencapai standard yang diinginkan.

Untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan mewajibkan guru untuk lulus Ujian Kedudukan Cambridge pada 2015, atau dipindahkan ke bidang lain.

New Straits Times juga melaporkan mereka yang gagal akan diwajibkan untuk menghadiri kursus intensif selama lapan minggu dan pembelajaran selama 30 jam secara online setiap minggu.

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Comments

InfoNiaga Terkini PR Newswire

Lagi