Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau menjelaskan, berdasarkan mesyuarat Lajnah Politik PAS yang diadakan di Pejabat Agung parti Islam berkenaan di sini semalam, PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Hadi untuk berundur.

“Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut,” jelas Tuan Ibrahim dalam kenyataan tersebut.
Dengan pengumuman tersebut, Tuan Ibrahim melihat isu penarikan diri Hadi tidak berbangkit, kerana parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu masih memerlukan khidmat beliau bagi menghadapi PRU 13.
“PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat.
“Walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Presiden untuk terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR,” tambahnya.
Malah, menurut Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agung abad ini.
Tambah Tuan Ibrahim, hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah.
“Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jemaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin,” katanya.
Hadi yang juga merupakan Adun Rhu menyatakan penarikan diri daripada bertanding pada pilihan raya umum ke-13 pada 28 Januari lalu atas alasan khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.
Jelas Hadi, ramai pemimpin pelapis dalam parti Islam itu yang boleh diberi peluang untuk membawa hala tuju parti di masa depan.






