Bahasa

Hadi sahkan ahli bukan Islam bertanding PRU 13 atas tiket PAS

SHAH ALAM, 8 April — Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) disahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini dengan menggunakan tiket PAS, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu akan meletakkan calon daripada DHPP untuk menarik undi masyarakat bukan Islam kerana kebanyakan calon bukan Islam bertanding atas tiket PKR dan DAP.

“(Mereka) akan ada di mana-mana negeri, DHPP ada calon India, Cina, dan Iban.

“Masalah kita adalah kerana banyak bukan Islam adalah calon DAP dan PKR,” katanya ketika sidang media selepas majlis Bual Bicara di Kompleks Karangkraf di sini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata parti itu, melalui Majlis Syura telah membenarkan bukan Islam bertanding atas tiket parti itu.

“Ini kali pertama dalam sejarah kita calonkan DHPP. Kerusi itu (yang mereka tandingi) memang kerusi PAS maka mereka akan bertanding atas lambang parti,” kata Tuan Ibrahim.

Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas kerusi yang akan ditandingi calon DHPP berkenaan, sebaliknya menggesa agar semua pihak menunggu keputusan berkenaan ketika penamaan calon.

DHPP didakwa mempunyai keahlian seramai 35,000 pengikut di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam.

Pada Pilihan Raya 2008, PAS Johor telah meletakkan calon wanita daripada bukan Islam, Kumutha Raman, untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dalam kawasan Parlimen Johor Bahru.

Beliau walau bagaimanapun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Maulizan Bujang.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Abdul Hadi menjelaskan PAS telah menyelesaikan hampir keseluruhan kerusi yang akan ditandingi mereka dan hanya ada kurang 10 kerusi yang masih tertangguh.

“Bagi kerusi kami, 99.9 peratus dah selesai, yang tinggal masih terlalu kecil dan boleh diselesaikan ... tidak sampai 10 kerusi bertindih,” katanya dan menambah pengundi dan penyokong yang akan menentukan calon yang akan dipilih mereka.

Comments

The Malaysian Insider tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.