Harga makanan meningkat, banyak juadah baru diperkenalkan di Param tahun ini
Antara aduan yang sering didengar ialah kenaikan harga makanan yang tidak munasabah, di samping saiz yang semakin mengecil dan aduan dari pihak peniaga tentang tapak sewa yang mahal menjadi isu setiap kali Ramadan tiba.
Di Sabah, contohnya, harga di Pasar Ramadan (Param) terlalu tinggi, dan ada yang jauh lebih mahal berbanding di Semenanjung.
“Di Sabah misalnya, harga air tebu berharga sekitar RM7, di sesetengah tempat terutamanya di AsiaCity, Kota Kinabalu — harga air tebu sebotol mineral besar berharga RM10,” menurut koresponden #indeksparam dari Kota Kinabalu, Syarifah Nursyahidah.
Sementara itu, pengusaha air tebu yang ditemui di Param berkata, kenaikan harga air tebu pada bulan Ramadan ini disebabkan oleh musim kering di negara disamping bekalan tebu import dari Filipina terjejas kerana taufan yang melanda negara tersebut.
“Kebanyakan tebu yang kita ambil datang dari kawasan utara, jadi apabila berlaku musim kering, banyak tanaman tebu tidak menjadi. Selain itu, kita juga mengimport tebu dari Filipina, dan apabila Filipina dilanda taufan, kita telah mendapat bekalan yang sedikit, jadi harga tebu semakin mahal,” kata pengusaha Rahman, penjual air tebu di Param di Seksyen 17, Shah Alam.
Rata-rata air tebu di Semenanjung dijual dengan harga RM5 untuk satu jag besar.
Sementara itu, masalah bekalan tebu yang berkurangan juga menyebabkan harga gula mahal, menyebabkan harga kuih-muih juga meningkat.
“Kenaikan harga gula menyebabkan harga makanan terutamanya kuih muih meningkat, contohnya seperti tahun-tahun sudah, kuih-muih seperti kuih koci, kuih puteri mandi, seri muka, kuih pelita semua meningkat.
“Dahulu kita boleh dapat tiga keping kuih dengan harga RM1, tapi majoriti sekarang menjual dengan lima keping berharga RM2,” kata Ros, yang menjual kuih-muih di Param Seksyen 17, Shah Alam.
Tetapi, selain aduan tentang harga makanan di #indeksparam, terdapat juga di antara pengguna Twitter mempromosi juadah baru yang unik sepanjang bulan Ramadhan ini.
Seorang yang dikenali sebagai Wan memberitahu dalam #indeksparam berkata, terdapat juadah arnab panggang di Param Presint 2, Putrajaya.
“Rasanya lain seperti yang lain, tidak seperti ayam,” katanya lagi.
Selain itu, disebabkan kenaikan harga air tebu, orang ramai mula mencari alternatif lain seperti ‘air kathira’ dan juga jus mangga.
Di Param Seksyen 18, Shah Alam, terdapat air jus mangga yang boleh didapati dengan harga RM1.50 segelas dan RM4.00 untuk satu jag besar.
“Kami tidak menggunakan pati mangga, kami mengisar sendiri mangga dan mengambil jus mangga tersebut untuk dijual kepada orang ramai.
“Kami menggunakan mangga jenis Harum Manis, supaya jus kami mempunyai rasa lemak-lemak manis dari mangga tersebut,” kata pengusaha jus mangga yang ditemui di Param Seksyen 18 di Shah Alam.
Air kathira yang dahulu popular di selatan tanah air, kini juga semakin popular di kalangan pengunjung di Param kali ini.
“Cara untuk membuat air kathira ini ialah mengambil gam kathira (Sterculia Urens), biji selasih dan kembang semangkuk (Scaphium).
“Rendamkan ia semalaman dalam air, dengan diletak daun pandan.
“Kemudian campurkan pewarna, gula, susu dan air mawar sebelum disediakan,” kata pengusaha air kathira, Puan Zarina Ibrahim.
Secara keseluruhannya, dalam #indeksparam kali ini, kemeriahan warga kota berpusu-pusu ke Param hanya pada awal Ramadan, dan apabila tiba ke penghujungnya, orang mula tidak berkunjung ke Param menyebabkan berkurangnya peniaga di Param, dan ramai orang lebih fokus untuk meraikan hari lebaran yang semakin hampir.
“Boleh saya katakan bahawa mengunjungi Param pada setiap kali awal Ramadan sudah menjadi budaya negara ini, tidak kira apa pun bangsa atau agama, semua orang meraikannya.
“Tetapi apabila semakin Ramadan berakhir, orang sudah mula tidak mengunjungi Param, mungkin sudah selalu makan juadah di Param. Mungkin mereka lebih memikirkan untuk berhari raya,” kata pengunjung Param yang dikenali sebagai Roslan di Param Seksyen 17, Shah Alam.





